Tun Faisal cadang Bersatu maklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat agar Hamzah dipindah ke blok bebas

KUALA LUMPUR, — Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mencadangkan agar parti itu secara rasmi memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya Datuk Seri Hamzah Zainudin dipindahkan ke blok bebas susulan pemecatannya daripada parti.

Menurut beliau, berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022, Perlembagaan Bersatu serta Peraturan Dewan Rakyat, Hamzah yang dipecat daripada parti tidak lagi mempunyai kedudukan sebagai wakil Bersatu mahupun Perikatan Nasional (PN) di Parlimen.

“Hamzah Zainudin kini bukan lagi ahli Bersatu dan secara automatik dianggap Ahli Bebas di Dewan Rakyat. Begitu juga dengan Ahli Parlimen Grik, Padang Rengas, Tasik Gelugor, Machang dan Indera Mahkota yang telah dipecat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tun Faisal berkata, berdasarkan Seksyen 9(1) Akta Lompat Parti, Ahli Dewan Rakyat yang dipecat daripada parti sepatutnya dipindahkan ke blok bebas dan tidak lagi mewakili parti asal mereka.

Beliau turut berpandangan bahawa sebarang jawatan strategik yang diperoleh melalui parti, termasuk jawatan Ketua Pembangkang, sepatutnya terbatal secara automatik apabila seseorang itu tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan.

Pada masa sama, beliau menegaskan Ahli Parlimen Bersatu lain yang masih sah sebagai ahli parti tidak terjejas oleh pemecatan tersebut dan kekal mewakili Bersatu serta PN dalam blok pembangkang.

“Hanya Ahli Parlimen yang dipecat atau meninggalkan parti boleh dianggap sebagai bebas. Ahli Parlimen yang masih menjadi ahli Bersatu tidak boleh dipindahkan atau dianggap bebas tanpa tindakan disiplin rasmi,” katanya.

Tun Faisal juga menegaskan Hamzah tidak mempunyai hak untuk mendakwa mewakili Ahli Parlimen Bersatu lain atau menentukan kedudukan blok pembangkang, memandangkan status beliau kini hanyalah sebagai Ahli Parlimen bebas.

Selain itu, beliau berkata jawatan-jawatan strategik yang dipegang oleh mana-mana Ahli Parlimen yang telah dipecat, termasuk Ketua Whip, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau pengerusi portfolio pembangkang, sepatutnya dikosongkan dan digantikan dengan Ahli Parlimen yang masih sah sebagai ahli parti.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Bersatu mengambil tindakan rasmi dengan memohon kepada Speaker Dewan Rakyat supaya memindahkan Ahli Parlimen yang dipecat ke blok bebas bagi memastikan struktur blok pembangkang kekal jelas.

Tun Faisal turut menegaskan bahawa jawatan Ketua Pembangkang sewajarnya diisi oleh Ahli Parlimen yang mewakili parti dalam blok pembangkang, dan bukan oleh Ahli Parlimen bebas yang tidak mewakili mana-mana parti.

Kenyataan tersebut dibuat ketika kemelut kepimpinan dalam Bersatu dan blok pembangkang terus memuncak susulan pemecatan Hamzah daripada parti, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan rasmi beliau serta peranan dalam struktur pembangkang di Parlimen.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat