KUALA LUMPUR, — Pemangku Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin memuat naik gambar pertemuan beliau bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam perkembangan yang dilihat sebagai isyarat penting pengukuhan hubungan antara kedua-dua parti susulan krisis kepimpinan dalaman Bersatu.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Ahli Parlimen Putrajaya itu hanya menulis ringkas, “Alhamdulillah,” tanpa memperincikan tujuan pertemuan tersebut.
Gambar berkenaan menunjukkan Radzi duduk bersama Abdul Hadi dalam suasana santai, dipercayai di kediaman Presiden PAS di Rusila. Turut kelihatan dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Hantaran tersebut menarik perhatian kerana dimuat naik ketika kem bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, mendakwa mereka mendapat sokongan PAS.
Radzi yang kini memikul tanggungjawab sebagai Pemangku Timbalan Presiden Bersatu, dan pertemuan beliau dengan kepimpinan tertinggi PAS dilihat sebagai langkah strategik memastikan kestabilan hubungan dalam Perikatan Nasional.
Perkembangan ini turut menyusul selepas Hamzah sendiri memuat naik gambar pertemuan beliau bersama Abdul Hadi dan pimpinan PAS pada hari beliau dipecat, sekali gus mencetuskan pelbagai tafsiran mengenai kedudukan dan dinamika politik dalam gabungan tersebut.
Setakat ini, Radzi belum mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai pertemuan itu, namun tindakan beliau memuat naik gambar tersebut dilihat sebagai mesej bahawa hubungan antara Bersatu dan PAS kekal utuh di tengah kemelut dalaman parti.



