Noor Ruwena dilantik ketuai Mahkamah Tinggi Rasuah kuat kuasa 1 April 2026

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Noor Ruwena Md Nurdin dilantik mengetuai Mahkamah Tinggi Rasuah Khas Kuala Lumpur, berkuat kuasa 1 April ini.

Arahan Pertukaran Hakim Mahkamah Tinggi Malaya tersebut dinyatakan dalam Pekeliling Bilangan 3/2026 dengan ditandatangani Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah.

Selain itu, pekeliling tersebut juga menyatakan pertukaran Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Aslam Zainuddin akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Manakala Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Noor Hisham Ismail akan menggantikan beliau di Shah Alam.

“Semua hakim perlu menyelesaikan semua kes yang sedang didengar sebelum Perintah Pertukaran ini berkuat kuasa.

“Sekiranya tidak dapat diselesaikan, senarai kes sambung bicara itu perlu dikemukakan kepada saya untuk arahan dengan menyatakan peringkat perbicaraan kes-kes itu.

“Pegawai Pengurus Pusat Tanggungjawab yang terbabit hendaklah mengemukakan Penyata Perubahan (Kew 8) berkaitan dengan Arahan Penempatan ini kepada pihak yang berkenaan,” katanya dalam pekeliling itu.

Hashim berkata, perintah pertukaran berkenaan sudah mendapat kelulusan Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Mahkamah Tinggi Rasuah Khas ditubuhkan awal tahun lalu bagi mendengar kes rasuah serta rayuan daripada Mahkamah Sesyen Rasuah Khas dengan mendapat kelulusan Ketua Hakim Malaya serta Ketua Hakim Negara.

Penubuhan mahkamah khas berkenaan menyusuli titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada 19 Januari lalu, lapor Utusan pada Khamis.

Baginda menekankan keperluan melantik hakim berpengalaman serta mewujudkan laluan khusus bagi memastikan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, inisiatif itu mencerminkan komitmen badan kehakiman terhadap integriti serta pengendalian kes rasuah secara cekap, telus dan berkesan.

Ketika ini, sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Rasuah Khas beroperasi di seluruh negara dengan sasaran menyelesaikan setiap kes dalam tempoh setahun dari tarikh pendaftaran.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat