Dakwah atau bina rumah ibadat kena ikut peraturan, itu saja kita minta – PM

KUALA LUMPUR – Semua kegiatan agama dan pembinaan rumah ibadat termasuk kuil perlu mengikut peraturan yang sudah ditetapkan pihak berkuasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan pendiriannya berhubung isu rumah ibadat tanpa kelulusan berkata, kerajaan Madani tiada halangan atau menyekat sebarang kegiatan keagamaan di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu sedemikian perlu ditangani dengan baik, walaupun kadang-kadang penyelesaiannya tidak mudah, justeru, penguatkuasaan juga perlu telus.

Kata Anwar, apapun yang mahu dilakukan, pihak berkenaan perlu mengikut peraturan kerana negara ini berpaksikan undang-undang.

“Saya terbabit juga dalam kegiatan dakwah dulu. Tapi kalau orang main nak buat dakwah yang mengganggu lalu-lintas… buatlah, dakwah tiada sekatan sama sekali tapi ikutlah peraturan. Itu saja yang kita minta.

“Macam seperti mana kuil-kuil Hindu, sembahyang la sebanyak mana dia nak pun, buatlah kuil mana pun, tapi ikut peraturan lah. Tak boleh pacak kuil atau berhala di mana tempat saja, tak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ihya Ramadan, di Putrajaya lapor Harian Metro pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar turut menyangkal mendakwa bahawa pembinaan surau juga dibuat di merata tempat dan tidak mengikut peraturan.

Katanya, seperti di Perak sebelum ini, ada surau yang pernah dirobohkan kerana melanggar peraturan.

“Jadi saya harap perkara ini sepatutnya kita selesaikan dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, minggu lalu, Perdana Menteri menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi keizinan supaya `membersihkan’ rumah ibadat yang sengaja dibina tanpa mengikut jalur hukum yang sah.

Anwar berkata, kerajaan tidak mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan.

Semalam media melaporkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah oleh badan bukan kerajaan (NGO), Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Jalan Bukit Bintang berdepan Bangunan Yayasan Selangor, sehingga tindakan penguatkuasaan diambil kelmarin.

Tindakan DBKL itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pengasas MRM, Firdaus Wong Wai Hung yang dilaporkan berkata, pihaknya sudah 14 tahun menjalankan ‘Street Dakwah’ di lokasi itu, dengan pengetahuan DBKL dan polis.

Beliau turut mendakwa, sebelum ini MRM juga dimaklumkan kegiatan itu tidak memerlukan permit atau lesen kerana mereka tidak melakukan aktiviti jualan dan tidak mengganggu lalu-lintas.

Pemuda Pas turut membantah keras tindakan DBKL itu yang menghantar 12 pegawai bagi menutup dan merampas bahan dakwah di reruai ‘Street Dakwah’ anjuran MRM di Bukit Bintang.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat