KUALA LUMPUR, – Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi menegaskan bahawa kenyataan sokongan Ketua Srikandi Malaysia, Datuk Wira Mas Ermieyati binti Samsudin terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah pendirian peribadi dan tidak mewakili keputusan rasmi sayap Srikandi.
Menurut beliau, setakat pengetahuan dan penglibatannya dalam platform rasmi dalaman Srikandi, tidak pernah dibangkitkan sebarang ketidakpuasan hati terhadap Presiden parti melalui saluran organisasi yang sah.
“Saya menghormati hak mana-mana individu untuk menyatakan pendirian politik masing-masing. Namun begitu, pendirian yang diumumkan adalah kenyataan peribadi beliau dan bukan mewakili sayap Srikandi. Sebarang keputusan atau pendirian yang melibatkan hala tuju sayap seharusnya melalui proses perbincangan dan musyawarah selaras dengan perlembagaan parti serta amalan kepimpinan yang berstruktur,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nolee Ashilin berkata kekuatan Srikandi terletak pada kesatuan, disiplin dan kematangan kepimpinan dalam mengurus perbezaan pandangan, khususnya ketika parti sedang berdepan cabaran dalaman yang memerlukan kebijaksanaan dan kesepaduan semua pihak.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh pimpinan perlu mengambil kira kesannya terhadap kestabilan parti serta keyakinan akar umbi terhadap perjuangan BERSATU.
“Kita mesti memastikan bahawa tindakan kita tidak menjejaskan kestabilan parti serta kepercayaan akar umbi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli Srikandi supaya kekal tenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi, dan terus berpegang kepada prinsip perjuangan parti demi memastikan kekuatan dan kestabilan organisasi terus terpelihara.
Kenyataan ini hadir dalam konteks perkembangan terkini dalam BERSATU susulan krisis kepimpinan parti dan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin kanan, yang menyaksikan pelbagai reaksi daripada kepimpinan parti termasuk sayap wanita.



