Datuk Bandar KL sedang laksana perubahan besar DBKL – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Perubahan besar sedang dilakukan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dalam memastikan tatakelola yang baik dilaksanakan dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pembangunan ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, beliau yakin Fadlun akan membawa perubahan dari segi ketelusan untuk memastikan agenda pembangunan di wilayah pentadbiran berterusan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan mengenai perubahan besar yang sedang dilakukan dalam DBKL itu.

“Semua pihak harus bersabar kerana pembaharuan memerlukan langkah demi langkah untuk ia berkesan,” katanya pada sidang media lapor BH pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan BH mengenai kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur yang terlalu luas dan perlu dikawal, seperti dicadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain Fadlun, turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Akhbar itu hari ini melaporkan SPRM menerusi cadangan 20 langkah penambahbaikan kepada DBKL baru-baru ini, menunjukkan kuasa eksekutif Datuk Bandar Kuala Lumpur terlalu besar dan tidak berubah sejak Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) dikuatkuasakan enam dekad lalu.

Walaupun Akta 190 sudah melalui beberapa pindaan, tiada entiti atau pihak tertentu yang dilantik mampu mengehadkan kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Malah, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan juga difahamkan hanya mempunyai kuasa terhad terhadap pelaksanaan dasar sahaja.

Ini membuktikan bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai seorang individu mampu memainkan peranan muktamad dan berfungsi sebagai pihak utama dalam menentukan keputusan pembangunan ibu negara, termasuk penyaluran dana untuk tujuan tertentu.

Pada masa ini, tiada ahli majlis dilantik seperti mana pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di seluruh negara, yang boleh menasihati dan keputusan dirunding kira-kira 15 ahli Lembaga Penasihat Bandar Raya yang dilantik juga tidak mengikat Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Situasi itu dilihat bukan sahaja membebankan pembangunan ibu negara, malah keputusan berisiko tinggi boleh dimanipulasi, termasuk oleh pemaju yang sentiasa mencari peluang untuk mengaut keuntungan.

Selain itu, individu yang dilantik juga boleh memanipulasi kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur yang terlalu luas untuk mendapatkan manfaat daripada pengurusan wang dan dana awam milik DBKL.

Sementara itu, bekas Menteri Kabinet yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur berbeza berbanding datuk bandar di negeri lain kerana ia dilihat tidak terbatas.

“Berbanding PBT lain yang mempunyai sistem ahli majlis dan wakil rakyat untuk mempengaruhi keputusan, DBKL walaupun mempunyai Lembaga Penasihat dengan wakil daripada badan profesional dan parti pemerintah, ia tidak mengikat dan kuasanya terhad.

“Kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur terlalu besar dan boleh memberi kesan kepada pembangunan di ibu negara sekiranya tidak ditadbir dengan baik,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat