Ketua Penerangan BERSATU sindir Khaliq Mehtab tandatangan SD, dakwa langgar Perlembagaan parti

KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 — Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan tindakan peguam Khaliq Mehtab menandatangani Surat Akuan Berkanun (SD) bagi mendesak Presiden parti berundur sebagai sesuatu yang “kelakar” dan menghairankan.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata tindakan tersebut bukan sahaja menimbulkan persoalan tentang kefahaman terhadap prinsip asas Perlembagaan BERSATU, malah berpotensi melanggar peraturan dalaman parti.

Menurutnya, jawatan Presiden yang diperoleh melalui proses Pemilihan Parti dan diperkukuhkan melalui keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) tidak boleh digugurkan melalui tekanan politik, persepsi “cukup angka” atau dokumen yang tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan parti.

“Dalam mana-mana pertubuhan berperlembagaan, jawatan Presiden hanya boleh digugurkan melalui mekanisme sah yang termaktub. Jika SD tidak diperuntukkan sebagai instrumen penyingkiran dalam Perlembagaan parti, maka ia hanyalah kertas bersumpah tanpa kesan perundangan dalaman,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Khaliq memahami bahawa keputusan Pemilihan Parti dan PAT adalah keputusan tertinggi yang mengikat semua ahli, dan tindakan menggunakan saluran yang tidak diperuntukkan boleh dianggap menyanggah Fasal 22.1(a), 22.1(b), 22.1(d) dan 22.1(f) Perlembagaan Parti serta Perkara 3.1 dan 3.1.7 Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Menurut beliau, jika kekeliruan itu datang daripada ahli biasa, ia mungkin boleh dianggap sebagai kejahilan biasa, namun apabila melibatkan seorang pengamal undang-undang, tindakan memintas struktur perlembagaan parti disifatkan sebagai sesuatu yang lebih serius.

“Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam politik. Namun politik berperlembagaan tidak boleh diuruskan dengan jalan pintas. Jika tidak bersetuju dengan kepimpinan yang dipilih secara sah, gunakan saluran dalaman yang diperuntukkan atau tunggu dan bertanding dalam pemilihan seterusnya,” katanya.

Beliau turut mendakwa kumpulan yang digelar sebagai “Geng SD” cuba membina naratif kononnya wujud pelan peralihan kuasa dan ‘Konsensus Gopeng’ untuk segera mengangkat Timbalan Presiden sebagai Pemangku Presiden, sedangkan perkara tersebut didakwa tidak pernah wujud.

Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja berpotensi menjejaskan nama baik parti, malah mencetuskan kekacauan ketika Perhimpunan Agung Tahunan 2025 serta melanggar Perlembagaan dan Kod Etika parti.

“Kesimpulannya, tindakan ini bukan sekadar perbezaan pandangan, tetapi memperlihatkan sikap tidak sabar dan tamak kuasa yang boleh menjejaskan institusi parti,” tegas beliau.

Perkembangan ini dijangka menambah ketegangan dalaman BERSATU ketika parti itu berdepan cabaran politik semasa serta persiapan menghadapi agenda politik akan datang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat