KUALA LUMPUR, — Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu Malaysia menggesa Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, dijadikan suspek utama dalam siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana zakat negeri itu.
Ketua Penerangan ARMADA Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid, berkata pihaknya memandang serius pendedahan dibuat sekretariat Pembela Tanah Air (PETA) yang diketuai oleh Badrul Hisham Shaharin, berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan dana Zakat Pulau Pinang.
Menurut beliau, sebagai Pengerusi Zakat Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap keputusan yang didakwa mencurigakan.
ARMADA turut mempersoalkan dakwaan bahawa Zakat Pulau Pinang menyalurkan bantuan berjumlah RM178,368.60 bagi melunaskan baki hutang rumah seorang individu bernama Zamri Ahmad, selain didakwa menerima bantuan bulanan sebanyak RM700 merangkumi RM500 tunai dan RM200 dalam bentuk bakul makanan.
Menurut kenyataan itu, pendedahan Badan Bukan Kerajaan (NGO) PETA mendakwa individu berkenaan tidak pernah memohon zakat dan keputusan pemberian bantuan dibuat melalui minit atas dasar Timbalan Ketua Menteri 1, dengan dakwaan wujud hubungan rakan sekolah antara kedua-dua pihak.
ARMADA menegaskan dakwaan tersebut, jika benar, menunjukkan kemungkinan wujud konflik kepentingan serta salah guna kuasa dalam pengurusan dana zakat.
Dalam masa sama, ARMADA turut mengecam dakwaan bahawa terdapat kakitangan agensi di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dihentikan perkhidmatan dan digantikan dengan individu yang mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan Timbalan Ketua Menteri 1.
ARMADA mempersoalkan jumlah kakitangan agensi di bawah MAINPP yang dihentikan perkhidmatan sejak beliau memegang jawatan, sambil menegaskan bahawa agensi kerajaan negeri bukan alat politik untuk menempatkan kroni.
Menurut Harris, pendedahan tersebut memberi kesan besar terhadap keyakinan umat Islam di Pulau Pinang yang menunaikan zakat serta golongan asnaf yang masih bergelut keluar daripada kemiskinan tegar.
Sehubungan itu, ARMADA menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya memanggil dan menyiasat Timbalan Ketua Menteri 1 dengan segera bagi memastikan ketelusan serta mengembalikan kepercayaan terhadap institusi zakat negeri.
ARMADA turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang berada dalam kedudukan kuasa dan didapati terlibat dalam salah laku perlu dihadapkan ke muka pengadilan serta melepaskan jawatan bagi memulihkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan zakat dan MAINPP secara keseluruhan.



