KUALA LUMPUR – Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan sekiranya cadangan beliau berhubung mengusahakan penubuhan Majlis Eksekutif Perikatan Nasional (PN) dianggap melanggar disiplin Bersatu sehingga digantung keahlian.
Sedangkan katanya kini Presiden Bersatu sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan penubuhan Majlis Eksekutif dalam surat beliau kepada Presiden-Presiden parti dalam PN.
“Benar, saya dijemput dan saya hadir ke sesi pendengaran Lembaga Rayuan pada Selasa 3 Februari 2026, jam 10.15 pagi hingga kira-kira 11.45 pagi. Sesi tersebut dipengerusikan oleh Tan Sri Azhar Azizan Harun dan dihadiri oleh empat lagi ahli Lembaga Rayuan.
“Sesi berjalan dengan baik. Ahli-Ahli Lembaga Rayuan meminta penjelasan saya mengenai perbicaraan Lembaga Disiplin. Dan saya memberi jawapan yang diperlukan. Selebihnya, kita tunggu lah Lembaga Rayuan membuat keputusan. Saya tak mahu ulas perjalanan sesi tersebut.
“Cuma ada satu perkara yang saya baru tersedar kelmarin semasa sesi tersebut, yang tidak berkait dengan perjalanan pendengaran. Antara tuduhan kepada saya ialah mengusahakan penubuhan Majlis Eksekutif PN dan “menyerang” pimpinan parti secara terbuka.
“Penubuhan Majlis Eksekutif adalah perkara yang Muhyiddin sendiri usulkan dalam surat beliau kepada Presiden-Presiden parti dalam PN. Kalau ikut tuduhan kepada saya, idea ini telah ditolak oleh Biro Politik dan MPT.
“Habis tu, (Datuk) Tun Faisal yang membuat aduan terhadap saya mengenai isu tak mahu buat aduan juga mengenai Muhyiddin?
“Kalau saya usahakan penubuhan Majlis Eksekutif, dia kata langgar disiplin. Sekarang Muhyiddin pun usahakan juga. Muhyiddin tak langgar disiplin partikah?s soal Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.
Selain itu katanya, beliau juga dituduh menyerang pemimpin parti secara terbuka.
“Tun Faisal menyerang Datuk Seri Hamzah Zainudin juga secara terbuka. Ini tak melanggar disiplin partikah?
” Adakah dalam Bersatu sekarang ada dua kasta? Satu kasta khusus itu nampaknya boleh buat parti sesuka hati,” selar beliau.



