‘Jangan belot dagangkan negara hanya kerana ketamakan sendiri’ – Shuhaily ingatkan AKPS

KUALA LUMPUR – Anggota dan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) diingatkan tidak mengikut nafsu tamak hingga menggadaikan integriti masing-masing serta mengetepikan kepentingan negara.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka perlu mengambil iktibar daripada Hikayat Hang Nadim yang memperihalkan bagaimana keutuhan Kota Melaka boleh rebah akibat tindakan pembelot yang membuka pintu dari dalam.

Beliau berkata, sejarah Melayu juga menunjukkan bagaimana pembesar Melayu disokong kapitan Cina dalam perebutan takhta.

“Kalau dulu kumpulan kongsi gelap diketuai kapitan masing-masing, sekarang sindiket penyeludupan lebih sukar dikesan kerana mereka cukup licik dan pandai menyelinap masuk ke dalam sistem pentadbiran negara.

“Justeru, jangan ulangi kesilapan sama dalam sejarah kerajaan Melayu lama dan dalam konteks moden hari ini, jangan dagangkan tanah air kita Malaysia kepada anasir luar hanya kerana ketamakan sendiri.

“Tanah air ini pernah rebah dan hilang kesultanan yang dunia segani dulu. Ada sembilan lagi waris kesultanan Melayu yang harus kita jaga demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada anggota dan pegawai AKPS lapor BH pada Selasa.

Shuhaily berkata, sikap tamak menjadi punca keruntuhan sahsiah diri dan akhirnya menjual jiwa dan negara.

Beliau berkata, apa yang dilaporkan media massa termasuk kepincangan yang berlaku, disebabkan ketamakan sesetengah pihak.

Justeru, katanya, semua anggota AKPS perlu menjauhi sifat tamak dan sentiasa bersyukur dengan apa dipinjam oleh Allah.

Sementara itu, Mohd Shuhaily mengakui proses mengambil alih 98 lagi pintu masuk negara, yang membabitkan sumber manusia dan aset, memberi tekanan kepada pasukannya terutama yang berada di lapangan.

Katanya, beliau juga menyedari berikutan anggota pasukannya datang daripada pelbagai agensi lain, perasaan mereka masih lagi terhadap agensi asal walaupun mereka sudah diarah berkhidmat dengan AKPS.

“Mereka mungkin bimbang dengan masa depan masing-masing; apatah lagi dipaksa bekerja dengan ketua yang dianggap paling ‘cengey’ (garang) dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mungkin juga ketua dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Sebenarnya saya juga penjawat awam yang diamanahkan untuk melaksanakan hasrat kerajaan, yang difikirkan perlu demi kedaulatan dan masa depan negara yang lebih baik serta terjamin.

“Jadi, sebagai ketua, tanggungjawab saya lebih berat dan mencabar dalam memohon anda semua daripada enam organisasi, mengabdikan diri kepada satu agensi yang asing lagi baharu (AKPS) ini,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat