KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan polis mencari dalang di sebalik insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan sekiranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.
“Merujuk kepada insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang didakwa membabitkan penyokong pasukan bola sepak Selangor FC pada 1 Februari 2026. Sultan Selangor sebagai Penaung Selangor FC menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa dengan insiden berkenaan.
“Baginda tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular di kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.
“Baginda mahu agar pihak Polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekıranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang,” titah baginda dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Sultan Sharafuddin, ia sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang.
Baginda tmenyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.
“Baginda turut mencadangkan agar penyokong-penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu,” katanya.
Seramai 33 penyokong Selangor FC yang didakwa berarak dan membakar suar di Jabatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbrigde di Terengganu semalam dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini bagi permohonan reman hari ini.
Terdahulu, video klip video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Selangor berarak membawa bendera pasukan dan menyalakan suar di jambatan tersebut sebelum menuju ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super.



