KUALA LUMPUR – Keterujaan mahu masuk ke Malaysia mendorong pendatang asing tanpa izin (PATI) mempelajari asas Bahasa Melayu menerusi internet bagi memudahkan pergerakan mereka.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, hasil soal siasat mendapati PATI itu berbuat demikian atas saranan rakan-rakan yang pernah masuk atau berada di negara ini.
“Mereka (PATI) mengambil inisiatif sendiri dengan mempelajari asas bahasa Melayu walaupun tidak fasih sebagai persiapan sebelum masuk ke Malaysia.
“Tempoh mempelajari bahasa Melayu itu bergantung kepada individu tersebut untuk menguasainya,” lapor Utusan di Pasir Puteh, Kelantan
Erwan Shah berkata, tindakan itu memperlihatkan wujudnya sindiket terancang yang mengatur pergerakan masuk PATI ini secara tersusun bagi mengelak perbuatan berkenaan dikesan anggota penguat kuasa.
Katanya, modus operandi penyeludup kini semakin licik selepas Maritim Malaysia Kelantan mengesan penggunaan dron.
“Penggunaan teknologi itu bertujuan memantau kawasan dan meninjau pergerakan pasukan penguat kuasa. Bagaimanapun, kawalan keselamatan di sepanjang perairan Kelantan sentiasa diperketat menerusi penggunaan tekonologi moden hari ini,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan pendatang dibawa masuk melalui sungai-sungai kecil, kawasan semak serta lokasi terpencil bagi mengelak mudah dikesan pihak berkuasa.
Katanya, kesemua PATI yang didaratkan itu kemudian dijemput menggunakan kenderaan darat.



