Had Tempoh Jawatan PM 10 Tahun, Pindaan Perlembagaan Akan Dibentang di Parlimen

Cyberjaya – Kerajaan secara prinsip bersetuju melaksanakan dasar mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun sebagai sebahagian agenda reformasi institusi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam selepas mengambil kira penelitian dasar yang komprehensif, pandangan masyarakat serta hasil sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Menurut beliau, langkah berkenaan dilihat penting bagi memperkukuh prinsip akauntabiliti selain memastikan elemen semak dan imbang terus berfungsi secara berkesan dalam sistem pentadbiran negara.

“Cadangan pengehadan tempoh jawatan ini bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara, selaras dengan amalan demokrasi matang pada peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, memetik laporan Bernama.

Tambah Azalina, beberapa pindaan melibatkan Perlembagaan Persekutuan akan dilaksanakan bagi merealisasikan dasar berkenaan dan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini.

Terdahulu pada 5 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 di Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri memaklumkan rang undang-undang berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri — tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh — termasuk dalam empat perundangan utama yang akan menjadi keutamaan Parlimen tahun ini.

Pada Mac tahun lalu pula, Anwar dilaporkan telah mengarahkan kajian terperinci dibuat terhadap cadangan tersebut dalam mesyuarat Kabinet sebagai langkah memperkukuh tadbir urus negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat