KUALA LUMPUR – Budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan berpunca daripada masalah kekurangan undang-undang
tetapi budaya kuasa yang terlalu lama tidak dicabar.
Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar malah menegaskan, ATM tidak rosak kerana dikritik sebaliknya ATM rosak jika terlalu lama tidak dibenarkan ditegur.
“Saya menyokong pendirian Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin bahawa rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM merupakan ancaman keselamatan negara. Namun, negara perlu jujur mengakui bahawa masalah sebenar bukan kekurangan undang-undang, tetapi budaya kuasa yang terlalu lama tidak dicabar.
“Menghukum individu yang bersalah adalah perlu, tetapi tidak mencukupi. Tanpa reformasi budaya, krisis integriti akan berulang dengan wajah berbeza,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Justeru, Mahfuz menggesa, doktrin keberanian moral dijadikan prinsip rasmi ATM.
“Penubuhan Ombudsman Tentera bebas di bawah Parlimen perlindungan penuh kepada pemberi maklumat.
“Penggunaan AI untuk mengesan pemusatan kuasa, bukan sekadar perolehan.
“Membela ATM bukan bermakna menutup salah. Membela ATM ialah memastikan ia kekal bersih, dihormati dan berdaulat,” katanya.



