KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim mempertikai rasional kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan yang menyatakan, tekanan kerja mungkin menjadi salah satu punca individu terjebak dalam komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Menteri Agama kata, stres dengan kerja mungkin salah satu punca terjebak LGBT. Kajian mana? Menteri kajian dari mana yang mengatakan bahawa kerana dia stres dia terjebak LGBT? Kajian dari mana?
“Yang patutnya dia keluar kenyataan kalau sekiranya mereka stres, pergilah ambil wuduk, sembahyang sunat, solat taubat dan sebagainya. Sebab kita tahu bahawa Islam mengajar untuk kita menyesaikan pelbagai masalah melalui wuduk. Sepatutnya dia cakap macam itu. Bukan kenyataan stres yang menyebabkan LGBT.
“Saya nak tanya dua soalan, pertama, berapa orang orang Islam terlibat dengan LGBT? dan yang yang keduanya ialah kajian dari mana?
“Ketiganya ialah apakah LGBT ni selainnya ada kemudahan? Apakah kemudahan ada di Malaysia ni yang menyebabkan LGBT?
Justeru Shahidan mendesak supaya kenyataan tersebut perlu ditarik balik.
“Saya ingat kenyataan yang dangkal, tidak berfikir panjang.
“Dan kalau sebenarnya kajian dia buat, kajian tu dia buat bagaimana? Dia buat cara random, penduduk Malaysia ada 35 juta, cara macam mana? Dia kena buat kajian terperinci.
“Kemudian dari segi kaum, dari segi agama, baru kita boleh cakap tentang perkataan stres. Jadi perkataan stres ni ialah membuka ruang untuk menteri diturunkan markahnya ke pangkat yang lebih rendah. Siapa nak pergi cakap ni punca LGBT?
“Akhirnya orang yang ada stres, dia fikir cara nak selesaikan masalah, ialah LGBT. Apa punya statement ni? Bye bye,” kata Shahidan dalam video dimuat naik di Facebooknya.
Tekanan kerja mungkin menjadi salah satu punca individu terjebak dalam komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Merujuk kepada sebuah kajian tahun 2017, beliau menyatakan bahawa pengaruh sosial, pengalaman seksual, dan faktor peribadi lain turut mempengaruhi seseorang terbabit dengan LGBT.
“Mengenai faktor-faktor yang menyumbang kepada isu berkaitan LGBT, antaranya seperti yang ditunjukkan dalam kajian oleh Sulaiman et al. (2017), terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi penglibatan individu dalam gaya hidup LGBT.
“Pengaruh sosial, pengalaman seksual, tekanan berkaitan kerja dan faktor peribadi lain mempengaruhi individu untuk tergolong dalam kategori ini.
“Kajian tersebut menekankan bahawa gabungan elemen-elemen ini mungkin menyumbang kepada perkembangan tingkah laku berkaitan LGBT,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) yang meminta Perdana Menteri memberikan data dan statistik terkini mengenai trend berkaitan isu LGBT di Malaysia, termasuk pecahan peratusan dan kumpulan umur yang terlibat, serta komposisi etnik berdasarkan kajian nasional atau laporan agensi berkaitan, serta faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes LGBT di negara ini.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata kerajaan tidak mempunyai statistik mengenai jumlah populasi LGBT.



