KUALA LUMPUR – Jika ada tafsiran “bahawa disebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan lagi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) maka beliau tidak perlu dijemput”, tafsiran ini adalah tafsiran yang salah dan songsang, menyalahi adab dan bertentangan dengan konvensyen, kata Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, hal ini kerana sebagai Presiden Bersatu, jika Muhyiddin tidak lagi menjadi Pengerusi PN sekalipun, maka Muhyiddin secara konvensyennya adalah Timbalan Pengerusi PN dan secara beradabnya perlu dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.
“Perlembagaan PN, perkara 8.3(I)(b) memperuntukkan perkara berikut: -“sekiranya Pengerusi meletakkan jawatannya, perletakan jawatan itu hendaklah berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi yang akan memilih secepat mungkin seorang Pengerusi baharu”
“Berdasarkan Perlembagaan PN, peletakan jawatan Pengerusi PN hanya berkuat kuasa selepas mesyuarat MT PN meluluskan perletakan jawatan itu. Bermaksud, Pengerusi PN masih ada dan Pengerusinya masih Muhyiddin.
“Apakah alasan yang berkemungkinan digunakan untuk tidak menjemput Muhyiddin? Jika alasannya disebabkan Muhyiddin telah meletakkan jawatan, alasan ini tidak boleh dipakai kerana Perlembagaan PN secara jelas menyatakan bahawa ‘peletakan jawatan ini belum berkuat kuasa’.
“Adakah alasan untuk tidak menjemput Tan Sri Muhyiddin adalah kerana menggunakan peruntukan dalam Perkara 8.3(II)(b)? Perkara 8.3(II)(b), iaitu:- “Semasa ketiadaan Pengerusi, seorang pemangku pengerusi hendaklah dipilih dari kalangan Timbalan-timbalan Pengerusi dengan persetujuan Majlis Tertinggi untuk menjalankan tugas-tugas Pengerusi” soal beliau.
Menurut Tun Faisal, jika Perkara 8.3(II)(b) digunakan, ia adalah satu pelanggaran perlembagaan, kerana Pengerusi PN masih ada disebabkan peletakan jawatannya belum berkuat kuasa. Peruntukan ini menyebut “semasa ketiadaan pengerusi”, barulah boleh “pemangku Pengerusi PN dilantik, itupun melalui persetujuan yang diputuskan dalam Mesyuarat MT PN.
“Ketiadaan bermaksud jika Pengerusi PN sudah tiada, berada di luar kawasan atau mempunyai sebarang halangan untuk melaksanakan tugasnya sebagai pengerusi, mungkin disebabkan keuzuran atau perlu melaksanakan tugas lain. Bukan ‘ketiadaan’ jika Pengerusi PN ‘secara sengaja’ tidak dipanggil menghadiri mesyuarat atau “dianggap “tiada” kerana telah menyatakan hasrat meletak jawatan sedangkan mengikut Perlembagaan PN, ia belum berkuat kuasa.”
“Bagaimanapun, seperti dinyatakan, tafsiran ini adalah salah kerana Pengerusi PN masih ada berikutan ‘peletakan jawatannya belum berkuat kuasa.’
“Islam mendidik umatnya untuk melaksanakan tanggungjawab dengan jujur, berintegriti dan beramanah.
“Semoga ini hanya khabar angin dan berita palsu, lebih-lebih lagi selepas pertemuan, perbincangan dan persefahaman antara Presiden Pas dan Presiden Bersatu pada 16 Januari 2026 yang disaksikan oleh beberapa orang pemimpin kanan kedua-dua parti,” katanya.
Sebelum itu, portal melaporkan, seorang pemimpin PN berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak dijemput ke mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu minggu depan bagi melantik pengerusi baharu.
Sumber yang enggan namanya disiarkan berkata, Muhyiddin sepatutnya masih dijemput ke mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada 29 Jan itu walaupun beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan.



