Dari TikTok ke Carta No. 1 – Sienna Spiro Jadi sensasi baru di Malaysia melalui “Die On This Hill”

Kejayaan luar biasa single “Die On This Hill” nyanyian SIENNA SPIRO di Malaysia membuktikan satu hakikat penting dalam era muzik digital: komuniti pendengar tempatan kini mempunyai kuasa sebenar untuk membentuk arah aliran muzik global.

Fenomena ini tidak bermula daripada promosi besar-besaran atau kempen pemasaran konvensional, sebaliknya tercetus secara organik melalui sokongan komuniti digital Malaysia khususnya di TikTok dan YouTube apabila artis tempatan dan pencipta kandungan mula berkongsi versi cover mereka. Daripada satu video ke satu video, “Die On This Hill” berkembang menjadi gerakan kolektif yang akhirnya melonjakkan lagu tersebut ke Carta Harian Spotify Top 50 Malaysia di kedudukan No. 1, selain tersenarai sebagai trending di YouTube Malaysia.

Antara pencetus utama gelombang ini ialah penyanyi terkenal seperti Ernie Zakri, Diana Danielle dan Syamel, yang masing-masing menampilkan interpretasi vokal tersendiri terhadap lagu balada tersebut. Respons penonton yang luar biasa pantas menjadikan kandungan berkaitan lagu ini mencecah lebih 220 juta tontonan di TikTok Malaysia, satu angka yang jarang dicapai oleh karya artis antarabangsa tanpa sokongan rasmi tempatan.

Menariknya, sokongan ini turut mendapat pengiktirafan langsung daripada SIENNA SPIRO sendiri. Penyanyi berusia 20 tahun itu meninggalkan komen ringkas tetapi bermakna “Love this” bersama emoji hati pada video cover Ernie Zakri dan Syamel, sekali gus mengukuhkan hubungan emosi antara artis asal dan peminat Malaysia.

Kesan domino daripada fenomena tempatan ini jelas terlihat di peringkat global. “Die On This Hill” kini telah mengumpul lebih 173 juta strim di seluruh dunia, mencapai #12 di Spotify Amerika Syarikat, #9 di Carta Single UK, serta memasuki Billboard Hot 100 di kedudukan #54 dan terus meningkat. Lagu ini juga menghiasi kulit hadapan playlist Today’s Top Hits, satu pencapaian yang sering dianggap sebagai penanda aras kejayaan arus perdana antarabangsa.

Lebih daripada sekadar trend sementara, fenomena ini menunjukkan bagaimana kepekaan pendengar Malaysia terhadap vokal emosi dan penceritaan jujur mampu mengangkat karya berkualiti ke tahap baharu. Semakin ramai artis tempatan seperti Nuha Bahrin, Elica Paujin dan Julia Duclos turut menyertai gelombang ini, menjadikan Malaysia antara pasaran paling aktif menyokong SIENNA SPIRO ketika ini.

Dalam masa yang sama, SIENNA sendiri terus mencipta nama di pentas antarabangsa menerusi persembahan di The Tonight Show Starring Jimmy Fallon, Later… with Jools Holland dan The Today Show, selain membuka persembahan untuk residensi Sam Smith di New York. Namun, di sebalik semua pencapaian tersebut, sokongan organik dari Malaysia kekal sebagai antara kisah paling menonjol dalam perjalanan lagu ini.

Fenomena “Die On This Hill” sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia bukan sekadar pasaran pengguna muzik, tetapi kini muncul sebagai pemacu trend yang mampu memberi impak sebenar dalam landskap muzik global satu cover pada satu masa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat