KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi menggesa Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng supaya mendesak Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menyerahkan kerusi Ayer Hitam kepada Umno.
Hal ini gara-gara Teik Cheng mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi liabiliti terbesar kepada Barisan Nasional (BN).
“Sebenarnya MCA yang jadi liabiliti kepada BN. Penolakan orang Cina kepada BN kerana tingkah laku MCA.
“Bahkan MCA sudah lama gagal tarik sokongan orang Cina kepada BN.
“Lebih memeritkan Umno terpaksa bagi kerusi majoriti Melayu kepada MCA seperti Ayer Hitam. Ramai ahli Umno marah. Sebab itu MCA kalah kerusi Parit Yaani pada PRU 2018. Tetapi BN rampas balik di PRN Johor 2022 apabila calon Umno bertanding.
“PRU16, Tan Teik Cheng kena desak Presiden MCA menyerahkan kerusi Ayer Hitam kepada Umno Pergilah lawan DAP di Kluang. Baru tahu siapa liabiliti,” bidas Puad.
Semalam Teik Cheng berkata, tindak-tanduk Pengerusi BN itu bukan sahaja menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan ahli gabungan, malah menjadikan beliau liabiliti terbesar kepada BN.
Beliau turut mengingatkan setiap kenyataan Pengerusi BN membawa imej keseluruhan gabungan bukan sekadar pandangan peribadi atau percaturan politik individu.
“Tingkah laku tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja merosakkan imej BN di dalam negara, malah menjadikan gabungan ini bahan ketawa di peringkat antarabangsa,” tegasnya.



