KUALA LUMPUR – Konflik dalaman antara parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya melibatkan MIC seperti ‘ribut dalam cawan’ sudah selesai.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dianggap selesai selepas MIC menghantar wakil pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 yang dihadiri oleh Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan.
Menurut Zahid, dalam sesi pra mesyuarat sempena sidang Dewan Rakyat membabitkan ahli-ahli Parlimen BN, Saravanan turut hadir bagi mewakili MIC.
“Ini memperlihatkan bahawa ribut di dalam cawan itu telah selesai,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) kali ke-72 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) semalam, lapor Utusan.
MIC sebelum ini membentangkan usul supaya parti itu keluar daripada BN dan memohon secara rasmi untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Perkembangan itu disebabkan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang didakwa tidak adil oleh Umno khususnya selepas kerjasama politik BN dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Zahid berkata, Parti Progresif Penduduk (PPP) secara sah menjadi salah satu parti komponen di dalam BN setelah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengesahkan penyertaan sebagai anggota penuh melalui surat bertarikh 25 November lalu.
“Ini merupakan satu berita gembira, bukan sahaja untuk parti ini (PPP) tetapi juga untuk BN kerana kini disahkan keanggotaan parti teras dalam BN adalah sebanyak lima parti.
“Ini memperlihatkan ribut di dalam cawan itu sudah selesai dan ditambah oleh berita gembira ini,” katanya menurut akhbar.
Sewaktu menyampaikan ucapan, Zahid berkata, tiada mana-mana parti yang boleh mempertikai kedudukan PPP dalam BN.
Katanya, Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan dijemput menyertai Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kota Kinabalu, Sabah pada 21 Januari ini.
PPP merupakan parti komponen BN sejak 1974, namun krisis kepemimpinan membawa kepada pembatalan pendaftaran dan menyebabkan terkeluar daripada BN.



