Oleh Zihan Zari
BATU CAVES – Penguat Kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Putrajaya berjaya
menumpaskan kegiatan penyeludupan beras super import gred Thailand White Rice 5 peratus (TWR5) seberat 10 tan bersamaan 9,750 kilogram (kg) dekat sini, pada 16 Januari lalu.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, kira-kira jam 10.30 pagi satu pemeriksaan ke atas sebuah premis pemborong beras membawa kepada rampasan.
“Berdasarkan risikan awal, hasil pemeriksaan mendapati pemborong terbabit disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran beras seludup yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(2) dan Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
“Dalam operasi berkenaan, pihak penguat kuasa turut menyita lesen borong beras,
salinan invois serta dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membantu
siasatan dan menjejaki modus operandi sindiket berkenaan, ”kata kenyataan itu.
Katanya, kesemua barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat KPB Putrajaya untuk siasatan lanjut.
“Jika sabit kesalahan, pemborong berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522], yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000.
“KPB Putrajaya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan beras yang bukan sahaja menjejaskan kestabilan bekalan dan harga pasaran, malah memberi kesan negatif kepada kepentingan pengguna serta pesawah tempatan, ”katanya lagi.
Ujarnya, orang awam diseru agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau penyelewengan beras kepada pihak berkuasa bagi memastikan rantaian bekalan beras negara sentiasa terpelihara dan terkawal.-SUARA.TV



