Bulan Bintang terus mengorak langkah sebagai antara jenama fesyen tempatan paling berpengaruh apabila menganjurkan pertunjukkan fesyen bertemakan Next Chapter sempena ulang tahun ke-11 jenama itu. Acara yang berlangsung pada 17 Januari 2026 di IOI Grand Exhibition Convention Centre, Putrajaya ini bukan sekadar meraikan kejayaan lebih sedekad perjalanan Bulan Bintang, malah menjadi simbol kepada fasa baharu yang lebih matang, berani dan strategik dalam landskap industri fesyen tempatan.
Menghimpunkan ratusan tetamu jemputan, rakan industri, media serta barisan selebriti ternama tanah air, pertunjukkan fesyen ini memperlihatkan keupayaan Bulan Bintang menganjurkan sebuah acara berskala besar yang menggabungkan elemen fesyen, hiburan dan pemasaran dalam satu pentas. Tema Next Chapter yang diketengahkan mencerminkan aspirasi jenama untuk terus berkembang, bereksperimen dan kekal relevan dalam pasaran yang semakin kompetitif.

Koleksi raya “ready-to-wear” (RTW) yang diperagakan memberi penekanan kepada rekaan yang lebih kemas, praktikal dan sesuai untuk pemakaian sepanjang hari. Koleksi Baju Melayu tampil sebagai teras utama dengan pengenalan tiga potongan baharu iaitu Slim Fit, Tailored Fit dan Traditional Fit, disertai penggunaan fabrik yang lebih lembut, ringan dan sejuk. Penambahbaikan dari segi kualiti jahitan dan keselesaan ini mencerminkan fokus Bulan Bintang terhadap nilai produk, selari dengan peningkatan jangkaan pengguna masa kini.
Selain koleksi untuk lelaki, rangkaian pakaian raya wanita dan kanak-kanak turut diperkenalkan dalam konsep sedondon dengan kepelbagaian rona warna. Sebanyak 84 pilihan warna ditampilkan, menjadikan koleksi ini antara yang paling meluas dari segi variasi palet di pasaran tempatan, sekali gus mengukuhkan kekuatan Bulan Bintang dalam pengurusan pengeluaran berskala besar.

Menariknya, pertunjukkan fesyen kali ini turut mencuri perhatian dengan pengenalan koleksi khas untuk kucing, satu pendekatan unik yang jarang diterokai dalam industri fesyen tempatan. Idea ini lahir daripada minat peribadi pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, yang merupakan pencinta haiwan peliharaan dan memiliki beberapa ekor kucing di rumahnya. Dari sudut perniagaan, segmen pakaian haiwan peliharaan khususnya kucing dilihat sebagai pasaran ‘underdog’ yang masih belum diterokai secara menyeluruh. Dengan jumlah pemilik kucing yang besar di Malaysia, koleksi ini membuka ruang kepada Bulan Bintang untuk menjadi destinasi sehenti bagi pelanggan yang ingin mendapatkan pakaian raya bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk haiwan kesayangan mereka.
Keunikan ini diperkukuhkan lagi apabila beberapa ekor kucing benar-benar dibawa berjalan di atas pentas peragaan, menjadikan Bulan Bintang antara jenama pertama di Malaysia yang menampilkan haiwan peliharaan sebagai sebahagian daripada persembahan fesyen. Pendekatan kreatif ini bukan sahaja menambah elemen kejutan, malah memperlihatkan keberanian jenama untuk mencuba sesuatu yang berbeza tanpa mengabaikan identiti terasnya.
Pentasan koleksi ini turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti lelaki popular seperti Datuk Rosyam Nor, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Nadhir Nasar, Mierul Aiman dan Zahiril Adzim. Kehadiran mereka mengukuhkan nilai komersial jenama ini dalam pasaran arus perdana. Selain itu, Bulan Bintang turut menampilkan barisan duta istimewa termasuk Hannah Delisha, Ain Edruce, Azira Shafinaz, Kasih Iris Leona, Erysha Emyra, Ernie Zakri dan Syamel, Dato’ Ramli MS, Dato’ Jalaluddin Hassan serta Alif Rakib, selain kemunculan semula Sharnaaz Ahmad sebagai duta Bulan Bintang.

Menurut Azzim Zahid Azmi, kejayaan Bulan Bintang bertahan dan terus berkembang selama 11 tahun adalah hasil sokongan berterusan rakyat Malaysia serta komitmen syarikat terhadap kualiti produk dan perkhidmatan pelanggan. Beliau menegaskan bahawa pertunjukkan fesyen ini bukan sekadar platform pelancaran koleksi, sebaliknya sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengukuhkan jenama dan membina hubungan lebih erat dengan pelanggan.
Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan, Bulan Bintang sekali lagi memperkenalkan kempen “Bulan Bintang Terrrrpaling Raya powered by AFFIN” untuk tahun ketiga berturut-turut. Kempen ini menampilkan kerjasama berskala besar bersama pelbagai jenama terkemuka dengan tawaran hadiah bernilai tinggi termasuk Affin Dream Box berjumlah RM500,000 dan Duit Raya Affin Bank sebanyak RM400,000. Sokongan turut diberikan oleh Dr. Cardin, Tealive, Tabung Haji Travel & Services serta beberapa jenama lain, menjadikan kempen ini antara yang terbesar pernah dianjurkan oleh jenama fesyen tempatan.

Pertunjukkan fesyen ini diserikan lagi dengan persembahan nyanyian daripada Spider, Ernie Zakri dan Syamel, selain pengumuman pemenang Bulan Bintang Next Top Model musim kedua yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000. Inisiatif ini memperkukuhkan lagi usaha Bulan Bintang dalam membina ekosistem kreatif tersendiri yang melangkaui sekadar penghasilan produk.
Bagi kempen raya tahun ini, Bulan Bintang menyasarkan jualan sebanyak 1.5 juta helai pakaian dan menggalakkan orang ramai mendapatkan koleksi Bulan Bintang Next Chapter di 15 butik rasmi seluruh Malaysia serta menerusi platform TikTok sebagai rakan kerjasama strategik jenama tersebut. Secara keseluruhannya, Bulan Bintang Next Chapter 2026 menjadi manifestasi jelas evolusi sebuah jenama tempatan yang kini berani bereksperimen, berstrategi dan menetapkan penanda aras baharu dalam industri fesyen Malaysia.



