Jangan hukum kementerian, tindakan tegas kepada pegawai terbabit rasuah -PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap pegawai tertentu yang terbabit salah laku dalam pelaksanaan projek kerajaan, bukan menghukum kementerian berkenaan.

Menurut Anwar ia bertujuan mengelak pandangan serong terhadap keseluruhan kementerian susulan kelemahan dalam pelaksanaan projek.

“Seperti dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam, masih terdapat beberapa kementerian yang belum memenuhi sepenuhnya harapan kerajaan dalam melaksanakan projek yang dipertanggungjawabkan.

“Walaupun berbanding tahun-tahun yang sebelumnya, prestasi itu baik, saya harus akui.

“Seperti mana isu rasuah, ia membabitkan segelintir kecil. Saya mahu rakan di pasukan keselamatan, tentera dan polis berasakan mereka keseluruhannya sangat berwibawa, sangat cekap, banyak pengorbanan,” katanya lapor BH pada Jumaat.

Perdana Menteri berkata apabila ada gesaan supaya prestasi diperbaiki, ini tidak menunjukkan keseluruhan kementerian, sebaliknya ada beberapa tindakan yang harus disegerakan terutama projek kecil.

“Bukan tertumpu kepada projek-projek besar, tetapi hanya projek-projek yang secara langsung memberi keringanan kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Shamsul Azri mendedahkan 14 ketua setiausaha (KSU) akan dipanggil memberi penjelasan berhubung kegagalan kementerian masing-masing mencapai sasaran pelaksanaan pembangunan projek fizikal tahun lalu.

Tanpa memperincikan kementerian dimaksudkan, beliau berkata pencapaian perbelanjaan pembangunan asas (DE Asas) negara tahun lalu hanya mencapai purata nasional 87.91 peratus.

“14 kementerian terbabit dikesan berada bawah purata nasional. Projek fizikal berkenaan bersifat kepentingan rakyat seperti pembinaan dan baik pulih infrastruktur jalan raya, sekolah, klinik dan hospital. Projek memang dilaksanakan, tetapi berjalan perlahan.

“Sebab itu ia mencapai 87 peratus sahaja. Duit (peruntukan) kita beri, tapi tak pakai, jadi rugilah. Sepatutnya duit itu kita boleh memanfaatkan untuk benda lain. KSU 14 kementerian ini saya akan panggil dan akan beri kesan kepada penilaian prestasi Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP),” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat