Sayap Pemuda mahu Muhyiddin terus jadi Pengerusi PN

KUALA LUMPUR- Tiga sayap Pemuda komponen Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal dan terus menerajui kepimpinan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN)

Ketua Pemuda Kebangsaan Malaysia Indian People Party (MIPP), Ketua Armada Bersatu dan Ketua Pemuda Gerakan berkongsi kenyataan usai pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediamannya di Bukit Damansara bagi menyampaikan pandangan dan pendirian sayap pemuda masing-masing khususnya berhubung kedudukan Pengerusi PN.

“Kami menghormati keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN. Walau bagaimanapun, peletakan jawatan tersebut pastinya memberi impak kepada wajah PN khususnya dalam pilihan raya umum akan datang. Untuk menang dalam pilihan raya, PN harus diterajui oleh figura yang boleh menjana penyatuan dan menggarap dukungan majoriti rakyat Malaysia.

“Justeru, ketiga-tiga sayap berpendirian, perihal ini mestilah diselesaikan secara konsensus sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal 8.3(I) Perlembagaan PN. Ketiga-tiga sayap pemuda juga berpendirian bahawa jawatan Pengerusi PN mestilah diisi oleh mana-mana presiden parti yang mempunyai kuasa eksekutif dan autoriti bagi membuat sebarang keputusan dasar demi kelancaran pentadbiran.

“PN wajar diperkasakan dengan etika gabungan, disiplin pentadbiran serta kerjasama politik dengan parti-parti yang terlibat dalam Ikatan Prihatin Rakyat,” katanya.

Menurut tiga sayap Pemuda PN itu lagi, berhubung tafsiran bahawa jawatan Pengerusi PN boleh disandang oleh mana-mana pemimpin selain presiden parti, kami menegaskan supaya ianya dirujuk menurut Fasal 20 Perlembagaan PN yang menyatakan : “Jika timbul sebarang kekeliruan tentang pentafsiran, susunan dan pengertian mengenai mana-mana peruntukan di dalam fasal Perlembagaan ini atau mana-mana peraturan dan perintah tetapnya, maka tafsiran, susunan dan pengertian mengenai fasal itu yang dibuat dengan suara majoriti ahli-ahli Majlis Tertinggi adalah terpakai dan muktamad.”

“Selaku teraju utama yang akan memimpin Perikatan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang, jawatan Pengerusi Perikatan Nasional mesti diisi oleh kepimpinan yang absah, inklusif, diterima oleh rakyat pelbagai kaum dan mempunyai track record yang diyakini rakyat.

“Maka, ketiga-tiga sayap pemuda mencadangkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal dan terus menerajui kepimpinan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional,” saran mereka.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat