KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebuah masjid bagi penduduk di kawasan Batu Muda, Kuala Lumpur.
Baginda bertitah, tapak masjid seluas dua ekar yang telah diperkenankan terletak di sekitar PPR Batu Muda.
“Sudah lama saya simpan hajat untuk memberi sebuah masjid untuk penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan setelah berbincang dengan Datuk Bandar, hari ini pada Jumaat yang mulia, hajat ini dapat dizahirkan.
“Seluruh kos berkaitan pembinaan masjid ini akan ditanggung oleh saya sendiri.
“Reka bentuknya juga saya tentukan untuk diambil berasaskan Masjid Kampung Mahmoodiah di Johor Bahru.
“Semoga ianya bermanfaat bagi semua, dunia dan akhirat, Insya-Allah,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud yang diperkenankan menghadap di Istana Bukit Tunku.



