KANGAR, — Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ahmad Adnan Fadzil, mendedahkan bahawa Raja Perlis masih membuka ruang kepada PAS untuk menamakan calon Menteri Besar sehingga ke saat-saat akhir sebelum pelantikan wakil daripada Bersatu dimuktamadkan.
Pendedahan itu dibuat menerusi satu kenyataan panjang yang dimuat naik beliau di akaun media sosialnya hari ini, ketika mengulas kemelut politik yang melanda pentadbiran kerajaan negeri Perlis.
Menurut Ahmad Adnan, pada detik-detik terakhir sebelum pengisytiharan Menteri Besar baharu daripada BERSATU, Raja Perlis masih memberikan peluang kepada PAS untuk mengemukakan nama calon bagi mengisi jawatan tersebut. Namun begitu, katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS gagal memainkan peranan sewajarnya apabila pilihan tersebut diajukan oleh baginda.
Beliau menjelaskan bahawa kegagalan berbuat demikian berpunca daripada kelemahan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menguruskan rundingan dengan Istana bagi pihak PAS. Keadaan itu, menurut beliau, berlaku selepas Raja Perlis menyatakan hasrat untuk menukar Menteri Besar atas alasan salah laku Menteri Besar terdahulu terhadap baginda.
Ahmad Adnan berkata, kegagalan rundingan berkesan itu akhirnya menyebabkan Raja Perlis terpaksa bertindak menggunakan budi bicara sepenuhnya seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menjelaskan bahawa Akuan Bersumpah (SD) yang ditandatangani oleh Ahli Dewan Undangan Negeri tidak dibuat di luar sebelum dibawa menghadap Raja Perlis, sebaliknya ditandatangani di hadapan baginda sendiri. Menurut beliau, situasi tersebut tidak akan berlaku sekiranya peranan dan amanah yang diberikan dilaksanakan dengan baik sejak awal.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa yang melibatkan kepimpinan PAS Perlis, termasuk tiga ADUN PAS yang dihentikan keahlian, serta menolak dakwaan bahawa Bersatu menjadi punca krisis politik berkenaan.
Mengulas kedudukan kerajaan negeri, Ahmad Adnan berpandangan bahawa pentadbiran Perlis wajar diteruskan seperti sebelumnya di bawah gabungan Perikatan Nasional, dengan barisan Exco terdiri daripada PAS dan Bersatu, dan perubahan hanya melibatkan jawatan Menteri Besar sahaja.
Beliau turut menyatakan bahawa pilihan raya kecil wajar dielakkan kerana dalam keadaan kemelut semasa, Perikatan Nasional berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan.
Ahmad Adnan menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mana-mana pihak meletakkan jawatan, sebaliknya semua pihak perlu kembali memikul amanah yang diberikan, menilai kesilapan yang berlaku dan melakukan pembetulan secara matang dan bertanggungjawab.
Mengakhiri kenyataannya, beliau mengajak semua pihak menilai kemelut politik di Perlis dengan lebih adil dan jujur, serta menyampaikan pandangan secara beradab, berbahasa baik dan berlandaskan semangat ukhuwah serta kasih sayang sesama umat.



