UMNO Bahagian Puchong Memutuskan Semua Kerjasama Politik Dengan PH Puchong Berkuat Kuasa Serta-Merta

PUCHONG, – UMNO Bahagian Puchong memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong, berkuat kuasa serta-merta, susulan kegagalan Yeo Bee Yin, Ahli Parlimen Puchong, mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam berhubung kenyataan yang disifatkan tidak beradab, tidak sensitif dan tidak matang terhadap Najib Razak

Menurut kenyataan media UMNO Bahagian Puchong, tempoh permohonan maaf yang ditetapkan berakhir pada 24 Disember 2025, jam 4 petang, namun tiada sebarang maklum balas diterima, sekali gus membawa kepada keputusan muktamad untuk menamatkan kerjasama politik di peringkat setempat. 

Keputusan tersebut melibatkan penamatan semua bentuk kerjasama politik di Parlimen Puchong serta DUN Seri Serdang dan DUN Seri Kembangan. UMNO Bahagian Puchong tidak lagi mengadakan mesyuarat bersama, menyelaras atau menganjurkan program politik dan kemasyarakatan, selain menamatkan kerjasama dalam strategi, perancangan dan gerak kerja pilihan raya dengan PH Puchong. 

Selain itu, UMNO Bahagian Puchong turut menarik diri daripada sebarang persefahaman politik setempat, termasuk perjanjian tidak rasmi, dan tidak lagi bertanggungjawab menjaga atau mempertahankan kepentingan politik PH Puchong. Parti itu juga bebas mengambil pendirian sendiri dalam semua isu tempatan. 

UMNO Bahagian Puchong menegaskan bahawa keputusan berkenaan merupakan satu isyarat bantahan dan pendirian tegas parti terhadap sikap serta kenyataan pemimpin PH Puchong yang didakwa mencabar maruah parti, prinsip Perlembagaan Persekutuan serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu. 

Bagaimanapun, parti itu menegaskan keputusan berkenaan tidak bermaksud UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional atau negeri, sebaliknya hanya melibatkan pendirian politik setempat selagi tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO atau kepimpinan Barisan Nasional di peringkat pusat. 

Susulan keputusan tersebut, UMNO Bahagian Puchong memaklumkan ia akan bergerak secara solo di kawasan Parlimen dan DUN terlibat, manakala sokongan terhadap mana-mana calon PH Puchong dalam pilihan raya akan menjadi bersyarat atau tidak diberikan langsung. Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha UMNO Bahagian Puchong, Hj Mohamad Yusof bin Mohamed Yassin. 

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat