KUALA LUMPUR – Diharapkan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu Adam Adli Abd Halim tidak mengulangi kesilapan sesetengah Menteri dan Timbalan Menteri daripada DAP yang hanya memanipulasi isu pinjaman pendidikan semasa pilihan raya untuk membangkitkan emosi, memperdaya rakyat dan meraih undi, namun selepas pilihan raya mengelak daripada mengotakan janji.
Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA Ong Chee Siang berkata, rakyat mahukan bukan sekadar slogan, tetapi dasar dan tindakan yang benar-benar mengubah keadaan pelajar.
“Pemuda MCA mengucapkan tahniah kepada Adam Adli atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, dan berharap beliau dapat memanfaatkan peluang ini sebaiknya untuk benar-benar memperjuangkan hak yang sewajarnya bagi mahasiswa, khususnya berhubung isu dasar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sering menjadi perdebatan.
“Ketika ini dasar yang tidak membenarkan graduan kelas pertama dari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menikmati pengecualian bayaran balik PTPTN jelas bersifat tidak adil dan amat merugikan pelajar cemerlang IPTS.
“Dasar ini bukan sahaja mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar dan ibu bapa, serta menjejaskan motivasi pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh, bahkan menafikan peluang ramai anak daripada keluarga miskin untuk mengubah nasib melalui pendidikan serta mendapatkan ‘peluang kedua’,” kata Chee Siang.
Perlu ditegaskan katanya, bahawa pelajar IPTS juga merupakan bakat negara; program pengajian mereka turut dikawal selia dan diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, dan usaha pembelajaran yang dicurahkan tidak kurang daripada pelajar universiti awam.
Namun ujarnya, kerajaan dilihat membezakan layanan dalam dasar pengecualian PTPTN, yang jelas memburukkan ketidakadilan sosial serta bercanggah dengan prinsip asas pendidikan yang adil dan inklusif.
“Adam sebelum ini, sebagai pemimpin gerakan mahasiswa, pernah lantang memperjuangkan pemansuhan PTPTN, pengecualian bayaran balik PTPTN serta menuntut pendidikan universiti percuma. Beliau ialah seorang pemimpin politik yang amat memahami selok-belok isu ini.
“Justeru, masyarakat meletakkan harapan yang lebih tinggi terhadap prestasinya di Kementerian Pendidikan Tinggi, kerana beliau diyakini lebih memahami tekanan dan realiti kesukaran yang ditanggung pelajar akibat pinjaman pendidikan.
“Beliau juga perlu mengambil tindakan yang pragmatik dengan mengutamakan semakan dan pembetulan terhadap dasar tidak munasabah yang menafikan pengecualian PTPTN kepada graduan kelas pertama IPTS, demi memperjuangkan layanan yang adil untuk mahasiswa, dan bukannya membiarkan dasar tidak adil ini terus wujud sehingga menimbulkan lebih banyak rasa tidak puas hati dan kekecewaan,” katanya.
Menurut beliau, pendidikan membentuk masa depan negara, dan kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi harus mengutamakan kebajikan pelajar.
“Pemuda MCA akan terus memantau dan memberi perhatian terhadap perkembangan dasar berkaitan, serta menantikan agar Timbalan Menteri yang baharu membuktikan melalui tindakan bahawa beliau tidak melupakan niat asalnya untuk bersuara bagi pihak pelajar.
“Sekiranya Adam Adli hari ini dapat menunaikan janji lama dalam kerangka sistem sedia ada, benar-benar meringankan beban pelajar dan membetulkan dasar yang tidak adil, maka itu pastinya satu perkara yang baik, malah merupakan satu langkah penting dalam pembaharuan pendidikan tinggi negara,” katanya.



