KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di empat negeri iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor terus mencatatkan peningkatan dengan angka terkini mencecah 14,637 orang.
Berdasarkan laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pukul 10 pagi ini, sebanyak 106 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan di keempat-empat negeri terbabit.
Jumlah mangsa dipindahkan itu terdiri daripada lelaki dewasa seramai 4,837 orang; perempuan dewasa (4,731); kanak-kanak lelaki (2,327); kanak-kanak perempuan (2,311) dan 431 bayi lelaki dan perempuan.
Daripada jumlah itu, seramai 1,390 merupakan warga emas dan 502 mangsa adalah Orang Kelainan Upaya (OKU), lapor Utusan pada Jumaat.
Pahang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi apabila seramai 13,285 mangsa dipindahkan ke 81 PPS membabitkan enam daerah iaitu Kuantan, Maran, Rompin, Pekan, Jerantut dan Lipis.
Kuantan dilaporkan merupakan daerah paling teruk terjejas dalam gelombang kedua banjir Monsun Timur Laut (MTL) kali ini apabila mencatatkan 10,920 mangsa dipindahkan.
Di Terengganu, sebanyak 18 PPS diaktifkan setakat ini bagi menempatkan seramai 799 mangsa melibatkan 250 keluarga di tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Kelantan pula mengaktifkan empat PPS membabitkan dua daerah iaitu Kuala Krai dan Gua Musang untuk menempatkan 197 dari 52 keluarga.
Manakala, Johor sebanyak tiga PPS diaktifkan di daerah Mersing sebagai perlindungan kepada 356 mangsa dari 93 keluarga selepas kawasan kediaman mereka ditenggelami banjir.



