KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakam penghargaan kepada barisan Kabinet Madani sebelum ini atas khidmat bakti, sumbangan serta komitmen mereka dalam menjayakan agenda reformasi dan pembangunan negara.
“Alhamdulillah, saya telah mengumumkan senarai saf kepimpinan baharu Kabinet Kerajaan Madani.
“Saya menzahirkan harapan agar kesemua yang diberikan amanah ini dapat bekerja dengan penuh iltizam dan tanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta kepentingan negara sentiasa menjadi keutamaan.
“Penghargaan dan ucapan terima kasih juga saya rakamkan kepada barisan pimpinan yang telah bersama dalam Kabinet Madani sebelum ini atas khidmat bakti, sumbangan serta komitmen mereka dalam menjayakan agenda reformasi dan pembangunan negara,” kata Anwar usai majlis pengumuman senarai Kabinet baharu pada Selasa.
Kabinet Kerajaan Madani yang baharu ini menyaksikan dua jawatan Menteri tidak dikekalkan iaitu Menteri Agama Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang diganti tugas oleh Dr Zulkifli Hasan.
Nasib sama juga turut dihadapi Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang digantikan oleh Hannah Yeoh yang sebelum ini menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.



