Temukan Dr Mahathir dengan Muhyiddin elak kekeliruan berpanjangan – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata adalah lebih wajar Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan empat mata bagi menjernihkan kekeliruan berpanjangan.

Menurut Tun Faisal hal ini lebih-lebih lagi apabila perkara berkenaan tidak pernah dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir dalam begitu banyak pertemuan mereka sebelum ini.

“Tuduhan bahawa Muhyiddin mencuri duit parti dan menyimpannya di rumah adalah tidak benar dan telah dinafikan dengan tegas dan sekeras-kerasnya oleh beliau sendiri.

“Dakwaan ini bercanggah sama sekali dengan prinsip yang dipegang oleh Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri, iaitu semua sumbangan politik mesti dimasukkan ke dalam akaun parti dan diurus secara telus oleh Bendahari Agung. Jika beliau berniat untuk menyeleweng dana parti, sudah tentu duit itu boleh disimpan di rumah, di ‘safe house’, di dalam almari, di dalam akaun peribadi atau di dalam akaun syarikat beliau ketika beliau memegang kuasa sebagai Perdana Menteri, namun ia tidak berlaku.

“Dakwaan bahawa beliau mahu menjadi Perdana Menteri semata-mata untuk mengelakkan dipenjara juga tidak munasabah. Muhyiddin sendiri pernah menyatakan hasrat untuk tidak lagi bertanding sebagai Presiden Bersatu pada tahun 2023. Sekiranya benar dakwaan bahawa beliau takut dipenjarakan, bukankah tidak logik untuk beliau melepaskan jawatan Presiden ketika itu? Bukankah lebih baik jika beliau mengikut jejak langkah presiden parti tertentu? kata Tun Faisal dalam kenyataan pada Isnin.

Kata beliau lagi, seperti yang dijelaskan oleh Muhyiddin, besar kemungkinan maklumat yang tidak benar telah disampaikan kepada Dr Mahathir.

“Justeru, adalah lebih wajar perkara ini diperjelaskan melalui pertemuan empat mata antara kedua-dua tokoh ini bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan, lebih-lebih lagi apabila perkara ini tidak pernah dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir dalam begitu banyak pertemuan mereka sebelum ini.

“Berdasarkan kenyataan Muhyiddin, saya berpandangan, kenyataan itu adalah cerminan jiwa besar Muhyiddin yang mahu agenda penyatuan ummah, agenda rakyat serta agenda penting untuk menyelamatkan negara ini dari kerosakan di bawah pentadbiran PM10 ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan, dan beliau tidak mahu agenda besar dan penting ini terjejas akibat salah faham yang boleh dirungkaikan dengan lebih baik secara empat mata.

“Siapa toksik? Dalam hal ini – Puad Zarkashi dan mereka yang mahu merosakkan agenda ummah dan rakyat, serta yang mahu menggagalkan usaha menyelamatkan negara ini daripada kerosakan, kelembapan ekonomi, bebanan hutang yang semakin membengkak, kos sara hidup rakyat yang melambung tinggi, krisis keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan, undang-undang dan kehakiman, serta kesan buruk ke atas kedaulatan dan kebebasan ekonomi akibat terma berat sebelah Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Amerika Syarikat dan Malaysia (ART),” kata Tun Faisal.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat