KOTA KINABALU, – Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menafikan dakwaan bahawa partinya cuba menarik atau membeli sokongan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas bagi membentuk kerajaan selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu lalu.
Dalam kenyataan media, Shafie menegaskan Warisan tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha sedemikian dan menzahirkan bahawa kepimpinan mesti diperoleh melalui mandat rakyat.
“Warisan menghormati mandat rakyat dan proses demokrasi yang mengatur pentadbiran negeri. Kami akan terus memainkan peranan yang diamanahkan dengan maruah, konsisten dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk rakyat Sabah,” katanya.
Pagi tadi, SuaraTV melaporkan bahawa terdapat dakwaan mengenai cubaan mempengaruhi beberapa ADUN Bebas melalui tawaran tertentu bagi mengubah sokongan dalam Dewan Undangan Negeri. Namun, laporan tersebut menyatakan tiada bukti bebas dikemukakan setakat ini dan tiada pengesahan rasmi daripada pihak yang dinamakan.
Warisan memenangi 25 kerusi pada PRN Sabah ke-17, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 kerusi sebelum menambah sokongan tiga ADUN Upko, seorang ADUN Pakatan Harapan (PH) serta lima ADUN Bebas.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam turut mengesahkan bahawa BN dan PH kini sebahagian daripada pentadbiran baharu Hajiji.
Seramai 10 menteri negeri telah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, termasuk ADUN Melalap daripada PH Jamawi Jaafar serta ADUN Sukau daripada BN Datuk Jafry Ariffin.
Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah untuk penggal kedua pada Ahad lalu.



