KUALA LUMPUR, – Ahli Parlimen Pandan (PH) dan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberi amaran bahawa kerajaan berdepan implikasi serius susulan titah terbuka Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengenai pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Menurut Rafizi, kenyataan sedemikian amat jarang dibuat oleh mana-mana Raja, khususnya berhubung pelantikan atau perjalanan pentadbiran kerajaan, sekali gus menandakan tahap kebimbangan yang tinggi daripada pihak Istana.
Titah Tuanku Muhriz pada 22 November lalu semasa sambutan ulang tahun ke-60 Badan Peguam Negeri Sembilan dan dipetik The Edge menyuarakan kegusaran bahawa pelantikan tersebut boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kebebasan badan kehakiman.
Baginda bertitah bahawa bantahan keras Majlis Peguam terhadap pelantikan itu mesti dijawab secara munasabah dan telus, sambil menekankan JAC perlu dilindungi daripada pengaruh cabang eksekutif.
“Pembaharuan segera perlu dipertimbangkan untuk memperkukuhkan kebebasan suruhanjaya dan akhirnya badan kehakiman. Mekanisme melibatkan pemilihan lima ahli utama JAC juga perlu digubal semula,” titah baginda.
Tuanku Muhriz turut mengingatkan bahawa badan kehakiman tidak dapat berfungsi tanpa peranan peguam yang cekap dan berprinsip.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata isu ini memberi kesan besar kepada penyokong teras PH/PKR, terutamanya kelas menengah dan pengamal undang-undang yang sejak awal mendukung reformasi kerana percaya kepada kebebasan kehakiman.
Menurutnya, sebahagian masyarakat kini mentafsirkan pelantikan Tan Sri Terrirudin sebagai mengesahkan dakwaan wujudnya perancangan awal untuk menaikkan beliau ke jawatan tertinggi badan kehakiman, dakwaan yang pernah berlegar sejak Jun lalu.
“Sentimen seperti ini boleh menghakis kredibiliti kerajaan reformis, sedangkan kredibiliti itulah faktor paling penting jika PH/PKR mahu dipilih semula,” kata Rafizi.
Rafizi turut mempersoalkan mengapa dakwaan dalam minit JAC yang bocor masih belum disiasat sehingga hari ini.
Malah pelantikan beliau ke JAC memberi gambaran seolah-olah Perdana Menteri tetap mahu meneruskan langkah meletakkan beliau di jawatan penting kehakiman walaupun dakwaan belum ditangani.
Isu pelantikan ini kembali panas selepas Majlis Peguam menzahirkan bantahan keras pada 21 November lalu, sebelum disusuli titah tegas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang menekankan keperluan pembaharuan serta ketelusan dalam proses pelantikan JAC.



