TUARAN — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Persekutuan kini berada pada peringkat terakhir dalam menyiapkan pelaksanaan tuntutan 40% hasil Sabah, selepas beberapa keputusan utama dipersetujui di Kabinet dan diumumkan secara terbuka di Parlimen.
Ketika berucap dalam program kempen di Sulaman, Anwar menolak dakwaan bahawa isu 40% hasil hanya dimainkan sebagai slogan, sambil menegaskan kerajaan pimpinannya adalah yang pertama menunjukkan langkah pelaksanaan yang benar-benar konkrit.
“Saya sudah maklumkan di Kabinet, saya nyatakan juga di Parlimen, kerajaan Persekutuan akan hormati komitmen dan kita akan laksanakan 40% itu dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau turut menepis tuduhan bahawa Putrajaya tidak serius mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dengan mengingatkan bahawa pentadbiran sekarang telah mengembalikan kuasa elektrik Sabah melalui penyerahan semula Sabah Electricity Board (SEB) kepada kerajaan negeri.
“Ini permintaan pertama Sabah untuk dapat balik kuasa elektrik, dan kita bersetuju. Kini ia bukan lagi di bawah kuasa Persekutuan,” katanya.
Menurut Anwar, keputusan mengembalikan SEB dibuat selepas perbincangan rasmi antara Sabah dan Putrajaya, sebelum diluluskan melalui pindaan undang-undang di Parlimen.
Selain itu, kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan tambahan RM1.2 bilion bagi mengatasi masalah tenaga yang berlarutan sejak puluhan tahun.
Anwar juga membidas segelintir pemimpin politik yang menurutnya hanya mengkritik setiap hari berhubung isu 40% hasil, tanpa memahami proses, angka dan perjanjian yang wajib dipatuhi sebelum sesuatu keputusan dapat dimuktamadkan.
“Ini bukan soal puluh juta. Ini berbillion. Kita perlu semak perjanjian, pastikan jumlah tepat. Bila semua selesai, barulah kita tunaikan. Selama ini siapa yang benar-benar buat?” katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kerjasama rapat antara kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk peranan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menjadi faktor utama yang membolehkan isu besar seperti tuntutan 40% hasil dan kuasa elektrik diselesaikan tanpa konflik.
“Kalau kerajaan negeri berbincang cara baik, semua menjadi lebih mudah. Ketua Menteri memainkan peranan besar membawa perkara ini kepada kita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi agar memilih pemimpin berdasarkan rekod kerja serta kemampuan menyatukan rakyat, bukan berdasarkan retorik perbalahan.
“Kita urus semua rakyat Kadazan, Dusun, Murut, Bugis, Cina, Muslim, Kristian. Politik bukan sekadar marah setiap hari,” katanya.
Anwar menegaskan komitmen terhadap tuntutan 40% hasil kekal menjadi keutamaan dalam hubungan Sabah dan Persekutuan di bawah MA63, dan kerajaan sedang melengkapkan pelaksanaannya mengikut proses sah yang dipersetujui bersama.



