KOTA KINABALU – Isu rasuah di peringkat Persekutuan menyebabkan ramai rakyat Sabah mempersoalkan sama ada parti-parti nasional benar-benar boleh mengutamakan kepentingan negeri.
Walaubagaimanapun calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) N 20 Api-Api Ting Shu Kiong berkata, beliau dan partinya tidak akan menjadikan isu kontroversi rasuah di peringkat Persekutuan sebagai modal kempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN Sabah).
“Persekitaran ini mungkin menjadikan orang lebih terbuka untuk mempertimbangkan alternatif, tetapi STAR tidak menganggap skandal Persekutuan sebagai pengaruh politik.
“Pendirian saya adalah jelas. Tadbir urus yang baik dan integriti adalah penting.
“Sabah memerlukan pemimpin yang bersih, bebas, dan mampu membuat keputusan tanpa tekanan luar atau pakatan yang berubah-ubah.
“Apabila politik negara menjadi tidak stabil, Sabah mesti bergantung kepada kepimpinan yang mempunyai kredibiliti dan integriti,” katanya kepada SuaraTV pada Rabu.
Mengulas lanjut, Shu Kiong memberitahu, dengan pengalaman lebih 27 tahun dalam sebagai pengamal undang-undang, beliau amat percaya bahawa perkhidmatan awam adalah amanah.
Justeru katanya, ia memerlukan ketelusan, akauntabiliti, dan disiplin untuk bertindak jujur walaupun tiada siapa yang melihat.
“Ini selaras dengan ikrar STAR iaitu untuk memerintah secara bersih, melindungi hak rakyat Sabah, dan memastikan bahawa keputusan yang dibuat tidak akan menjejaskan kepentingan rakyat Sabah.
“Beginilah STAR meletakkan dirinya. Bukan dengan mengambil kesempatan daripada isu Persekutuan, tetapi dengan menegakkan piawaian yang lebih tinggi dan membuktikan bahawa Sabah layak mendapat kepimpinan yang dibina atas tanggungjawab dan komitmen yang tulus kepada rakyat,” tegas beliau.
Jelas Shu Kiong lagi, STAR terus mendapat keyakinan rakyat Sabah kerana hala tuju parti itu sentiasa kekal stabil dan jelas.
“Kami memperjuangkan hak rakyat Sabah, dan kami menunaikan janji itu secara konsisten. Komitmen ini adalah asas terkuat parti dan faktor orang ramai mempercayai kami.
“Sebagai parti yang berpangkalan di Sabah, kami dekat dengan akar umbi dan memahami isu-isu yang menjejaskan kehidupan seharian seperti air bersih, bekalan elektrik yang stabil, keselamatan awam, kebimbangan perumahan, dan pembangunan yang adil di bandar. Ini adalah isu sebenar yang dibangkitkan oleh penduduk di Api Api, Gaya Street, dan Pulau Gaya.
“Pendekatan saya mengikut prinsip yang sama. Saya mendengar, mengenal pasti masalah, dan mencadangkan penyelesaian yang realistik tanpa menambah drama politik yang tidak perlu.
“Rakyat Sabah menghargai pemimpin yang praktikal, ikhlas, dan telus. Keupayaan STAR untuk kekal berpegang kepada keutamaan ini adalah apa yang membantu parti mengekalkan keyakinan rakyat,” kata Shu Kiong atau lebih mesra dikenali sebagai Thomas Ting.



