KUALA LUMPUR – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mempertikai penggunaan perkataan tohmahan yang digunakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terkait skandal pemberian rasuah membabitkan ahli perniagaan Albert Tei serta bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan, perkataan tohmahan itu sendiri bermaksud ‘tuduhan yang melulu’.
“Dengan penuh hormat kpd SPRM, saya ingin bertanya bagaimana pihak SPRM awal-awal lagi menyatakan ia sebagai ‘tohmahan’ dalam keadaan siasatan belum bermula. Kenapa tidak guna perkataan ‘dakwaan’ sebagaimana biasa?
“Saya bimbang rakyat menjadi ragu-ragu dengan SPRM.
“Pesan saya kepada penjawat awam yang mempunyai maklumat tentang ‘surat-surat sokongan’ yang lain, simpanlah baik-baik bukti itu jika tidak dapat buat aduan kepada SPRM.
“Satu masa nanti bila kerajaan ini bertukar tangan, kita bongkarkan,” tegas ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa tajuk kenyataan SPRM mengakibatkan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan PH-BN.
“SPRM pun agak-agaklah. Pilihlah tajuk yang boleh meyakinkan rakyat.
“Bila rakyat baca tajuk kenyataan SPRM macam ni bukannya akan menambah keyakinan mereka kepada SPRM. Sudahlah keyakinan rakyat terhadap PM, kerajaan PH-BN, institusi penguatkuasaan, undang-undang dan kehakiman ketika ini sangat rendah.
“Apabila awal-awal lagi perkataan ‘tohmahan’ digunakan sebagai tajuk kenyataan SPRM, persepsi negatif telah terbentuk terhadap SPRM, kerajaan dan PM Anwar lebih-lebih lagi apabila kes ini melibatkan pegawai PM sendiri.
“Yang menasihati SPRM ini memang tak tahu nak cari perkataan yang sesuai ke?
“Eloklah digantikan PM, kerajaan PH-BN dan semua yang terlibat,” seru Tun Faisal.



