KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya segera menjalankan siasatan tanpa berlengah, menyeluruh dan bebas bagi menentusahkan dakwaan yang dibuat kerana ia melibatkan seorang pegawai kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, jika tidak ia akan memberi kesan dan implikasi besar yang berpotensi menggagalkan semua inisiatif serta janji kerajaan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang.
“Ahli Parlimen PN juga menggesa semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya, supaya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
“Sebarang salah laku oleh mana-mana pihak hendaklah diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih,” kata Takiyuddin.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas merujuk kepada peletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri berkait isu surat sokongan yang dikeluarkan oleh beliau kepada sejumlah kontraktor bagi projek projek di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tahun lepas yang juga telah dibangkitkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
“Dalam pada itu, MP PN juga memandang serius pendedahan oleh seorang ahli perniagaan bahawa beliau telah memberikan sebanyak lebih dari RM600,000 kepada individu yang sama berkait skandal perlombongan mineral di negeri Sabah yang mendapat perhatian ramai sebelum ini.
“Menurut ahli perniagaan itu lagi, beliau telah menyusun dokumen lebih 300 halaman, termasuk tangkap layar perbualan WhatsApp, resit dan gambar, bagi menyokong dakwaannya,” katanya dalam kenyatan pada Rabu.
Justeru ahli-ahli Parlimen PN, kekal komited pada prinsip-prinsip ketelusan, akauntibiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang bagi menjamin keutuhan institusi kerajaan, maruah negara dan keyakinan rakyat.



