Oleh Zihan Zari
IPOH – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) amat komited dalam memastikan agenda bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE)diterapkan di peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Program seperti STEM Camp bukan sekadar aktiviti satu hari, tetapi merupakan bibit-bibit awal untuk melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, dan innovator negara pada masa akan datang, kata Ketua Penolong Setiausaha, Unit Pembudayaan 2 (Outreach), Bahagian Pembudayaan & Perkhidmatan STI MOSTI, Uwarani a/p Krishnan
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program SciTech4U – STEM Camp MOSTI 2025 di Politeknik Ungku Omar (PUO) dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh; Yang Dipertua (YDP) PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan, Datuk Mohd Hussin Abdullah; dan
Timbalan Pengarah Akademik PUO,
Norman Zamri.
Uwarani berkata, semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak, khususnya para peserta dalam program ini telah berjaya mencapai objektif untuk memupuk minat dan kesedaran dalam bidang STIE.
“Melalui program ini, kita dapat melihat sendiri bagaimana para peserta melaksanakan aktiviti secara ’hands-on’ dan menyelesaikan masalah sambil melengkapkan tugas.
“Mereka juga didedahkan dengan teknologi seperti simulasi kimpalan dan additive manufacturing yang tiada diperingkat sekolah tetapi amat significant dengan keperluan industri sekarang.
“Ini adalah pengalaman yang amat berharga dan diharap dapat meneruskan minat mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),”katanya.
“Diharap para peserta agar terus mencintai sains dan teknologi. Jadilah generasi yang tidak hanya menggunakan teknologi, tetapi mencipta teknologi untuk masa depan Malaysia, ”tambahnya.
Terdahulu, Pengarah PUO, Hjh. Salmi Che Meh berkata sokongan dan komitmen MOSTI dalam memacu bidang STIE adalah pemangkin utama kepada kejayaan program seumpama ini.
Menurut beliau program ini bukan sekadar aktiviti luar bilik darjah malah satu usaha membina minat, menyalakan api kreativiti, dan membentuk minda inovatif dalam kalangan pelajar daripada peringkat sekolah rendah sehingga menengah.
“Objektifnya jelas untuk menjadikan STEM sesuatu yang menyeronokkan, relevan dan boleh diteroka oleh semua dan hari ini, kita telah berjaya menanamkan satu biji benih, benih untuk melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, dan pereka bentuk Malaysia pada masa hadapan, ”katanya.
“Paling istimewa, para peserta STEM Camp, sebenar-benarnya watak utama pada hari ini. Semangat dan pencapaian anda membuktikan bahawa masa depan STEM di Malaysia adalah cerah, ”katanya lagi.
Program ini dianjurkan oleh PUO dengan kerjasama MOSTI telah berjaya dilaksanakan selaras dengan Teras 5 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 yang menekankan pembudayaan serta pengaplikasian STIE dalam kalangan masyarakat.
Program ini dikendalikan oleh pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DKM), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) PUO, dengan sokongan PIBG SMK Raja Chulan, Jabatan Kimia Malaysia Negeri Perak, JPN Perak, PPD Kinta Utara dan Selatan serta KEMAS Daerah Kampar.
Seramai 80 pelajar dari 10 sekolah sekitar PUO dan 20 murid Tadika KEMAS Kg. Kurnia menyertai program ini, selain itu 5 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom Kampar yang diberi peranan sebagai fasilitator pelajar bersama 30 pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan 15 pelajar JKM PUO.
Antara aktiviti yang dijalankan, pembinaan dan pengujian kit STEM; lawatan bengkel kejuruteraan; Simulasi industri; dan pembentangan dapatan kumpulan bagi menyemai minat STEM sejak awal dan memperkukuh kolaborasi pendidikan komuniti.-SUARA.TV



