Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Program Art Show 2025 menampilkan pendekatan segar dan selari dengan perkembangan semasa menggabungkan empat elemen utama iaitu Muzik, Seni, Pendidikan Uniti (Perpaduan) yang menonjolkan kepelbagaian warisan muzik Malaysia termasuk seni persembahan dan teknologi kreatif, penerapan nilai ilmu serta pembelajaran dalam seni.
Art Show bukan sahaja menyentuh pengisian program yang bermanfaat semata-mata tetapi juga penglibatan pelajar secara langsung melalui pelbagai aktiviti menarik yang dapat memberikan pendedahan kepada generasi muda melalui pengalaman pendidikan secara tidak formal di luar bilik darjah dalam memelihara warisan budaya negara, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Mohamad Azhan Md Amir.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Art Show : Muzik, Seni, Pendidikan dan Uniti 2025 di Dataran Muzium Negara, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Datuk Kamarul Baharin A. Kasim; Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) JMM, Mohd Razaimi Hamat; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JMM, Mohamad Shawali Hj. Badi; Pengarah Muzium Muzik, Maisaraf Marman; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Ts. Dr. Rohana Zur; Ketua Pengarah Muzik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Supt. Mohd Fazilah Mohamad Noor; Komandan Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA), Lt. Kol. (D.OM) Badelisham Md Juda; dan Kurator Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Hayati Adnan.
Mohamad Azhan berkata program ini sejajar dengan aspirasi dan hasrat kementerian untuk merakyatkan muzium serta menjadikan muzium sebagai sebuah tempat berkumpul dan saling berinteraksi bagi memperkukuh tapak integrasi antara kaum di negara kita.
Menurut beliau, melalui pameran yang inklusif dan interaktif, muzium berupaya memupuk semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum, sekaligus mengukuhkan identiti kebangsaan.
“Di Malaysia, kita memiliki lebih daripada 232 buah muzium di seluruh negara, merangkumi 22 muzium persekutuan di bawah JMM, 63 muzium agensi atau institusi, 103 muzium negeri dan wilayah, serta 44 muzium swasta.
“Angka ini menggambarkan kekayaan khazanah warisan yang kita miliki, namun cabaran besar adalah bagaimana menjadikan muzium relevan dengan generasi muda,”katanya.
“Penggunaan teknologi digital, aplikasi mudah alih, pameran interaktif, serta pendekatan mendidik melalui pengalaman langsung adalah antara strategi yang boleh menarik minat generasi muda untuk menjadikan muzium sebagai ruang yang hidup dan dekat dengan dunia mereka.
“Pengalaman negara luar wajar dijadikan teladan, contohnya British Museum di London dan Smithsonian Institution di Washington D.C. berjaya menarik jutaan pengunjung muda setiap tahun melalui pendekatan digitalisasi koleksi, pameran interaktif realiti maya (VR), serta program sukarelawan dan kurator muda yang memberi peluang belia terlibat secara langsung.
“Bahkan, National Museum of Singapore juga menampilkan pameran berbasis teknologi imersif seperti Story of the Forest yang menarik golongan muda dan keluarga untuk kembali ke muzium.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan strategi yang tepat, muzium mampu menjadi destinasi pilihan belia dan bukan sekadar institusi sejarah semata-mata,”katanya lagi.
“Amat penting untuk melibatkan generasi muda dalam dunia permuziuman kerana mereka inilah pewaris yang akan memelihara dan menyambung warisan bangsa selain muzium berfungsi sebagai jambatan antara generasi, tempat persefahaman budaya, serta wahana perpaduan negara.
“Justeru, menjadikan muzium mesra belia adalah kunci kepada kesinambungan sejarah, pengukuhan perpaduan, dan kelestarian identiti Malaysia,”ujarnya.
Terdahulu, Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata Art Show turut menonjolkan koleksi-koleksi alat-alat muzik kepelbagaian etnik di Malaysia melibatkan koleksi/artifak alat muzik di Galeri Muzik, JMM; seni bunyi, seni persembahan (performing arts) seni halus (fine art), seni rekabentuk grafik dan media digital.
Katanya, Art Show menerapkan nilai-nilai ilmu dalam elemen muzik dan seni yang boleh dipelajari, dikongsi dan ditatapi umum serta menjadikan muzium sebagai pusat gedung ilmu serta merangkumkan aktiviti seni dan budaya yang menjurus ke arah perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum /etnik.
“Pelajar -pelajar perlu merasa bertuah kerana terpilih menyertai program ini yang membuka peluang untuk mengangkat bakat mereka ke tahap yang di luar jangka, malah memberi satu pengalaman berharga untuk dijadikan portfolio pelajar-pelajar apabila tamat belajar nanti, ”katanya lagi.
Program Art Show sedang berlangsung sehingga pada 31 Disember ini dianjurkan oleh Muzium Muzik Kuala Lumpur dengan kerjasama strategik rakan kolaboratif antaranya UiTM; Pusat Kebudayaan UKM bersama Againstar, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA); Perbadanan Muzium Negeri Pahang; PUZIDA; PDRM; Sekolah Kebangsaan Seberang Perak; ASTRALOKA; IZY Electronics.
Turut serta, para penggiat industri dan pengamal seni dari pelbagai latar belakang yang membawa kepelbagaian warna dalam dunia seni muzik dan persembahan tempatan.
Pelbagai aktiviti menarik telah sediakan kepada para pengunjung iaitu Pameran Art Show menampilkan Pameran Karya Pelajar UiTM, Pameran Koleksi Alat Muzik Gamelan serta Pameran Koleksi Bagpipe dan Bugle dari koleksi Tentera Darat.
Selain itu, Bicara@Muzium Muzik, Pocket Talk / Art Talk, lima siri Bengkel Gamelan dan demonstrasi konservasi alat muzik yang memberi peluang kepada pengunjung mendalami proses pemuliharaan serta menghargai nilai seni warisan muzik tradisional negara.-SUARA.TV



