KUALA LUMPUR – Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu rakyat Sabah bahawa perjuangan Pakatan Harapan (PH) adalah untuk rakyat tanpa mengenal batas bangsa atau latar belakang.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yakin dengan usaha yang tersusun, kerja keras jentera dan sokongan padu rakyat, PH mampu mencipta kejayaan yang lebih besar untuk negeri Sabah.
“Sebelum pulang ke Putrajaya semalam, Bang Mat sempat menghadiri Program Sembang Santai dengan Jentera PH-BN Tanjung Aru.
“Kita mahu pastikan mesej perjuangan Pakatan Harapan sampai kepada semua lapisan masyarakat. Kita mahu tunjukkan bahawa perjuangan kita adalah untuk rakyat, tanpa mengira bangsa atau latar belakang.
“Bang Mat melihat komitmen yang sangat kuat daripada rakan-rakan di Sabah untuk memastikan Pakatan Harapan mendapat keputusan terbaik pada PRN kali ini. Insya-Allah, dengan usaha yang tersusun, kerja keras jentera dan sokongan padu rakyat, kita mampu mencipta kejayaan yang lebih besar untuk negeri Sabah.
“Terima kasih kepada semua yang hadir malam tadi. Kita terus berjuang bersama, demi masa depan Sabah yang lebih makmur, stabil dan inklusif,” seru Ahli Parlimen Kota Raja itu.



