KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali mendakwa, GRS “kehilangan” dua tahun pertama pentadbiran Sabah kerana kegagalan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Menteri Kerja Raya negeri dari 2021 hingga 2022 dalam menjalankan tugasnya menangani masalah air dan elektrik di Sabah.
Justeru kata Armizan, tuduhan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah itu bahawa GRS adalah parti paling gagal di dunia disifatkan ibarat meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri.
“Sebenarnya kerajaan GRS kehilangan dua tahun pertama dalam fasa pentadbiran kerana terpaksa menerima Bung Moktar sebagai Menteri Kerja Raya yang paling gagal dalam sejarah peradaban manusia.
“Takdir Tuhan menentukan Bung sebagai ‘Menteri Gagal’ keluar dari kerajaan negeri, membolehkan membolehkan banyak projek penstabilan bekalan air dan elektrik mula berjalan di Sabah,” dakwa beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Ketika menyampaikan ceramah pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Bung Moktar yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, mendakwa GRS sebagai kerajaan yang paling gagal dalam mengurus rakyat, ekonomi dan kesatuan rakyat.
Ketua Umno Sabah itu mendakwa, terdapat 20 parti tempatan di Sabah, termasuk GRS, namun tidak boleh bersatu dan masing-masing mahu mencari kuasa.
Bung Moktar dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya Sabah pada September 2020 ketika BN bekerjasama dengan GRS mentadbir Sabah, namun digugurkan daripada jawatan itu selepas BN menarik sokongan kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri pada Januari 2023.
Mengulas lanjut, Armizan mendakwa, ketika Bung Moktar menjadi Menteri Kerja Raya, tidak ada projek utama penstabilan bekalan air di Sabah mula dilaksana.
Di Tawau contohnya, Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 Tawau hanya dilaksana selepas Bung Moktar tidak lagi memegang jawatan itu, iaitu bermula 22 Julai 2025 dan dijangka siap 22 Julai 2028.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendakwa, Projek Naik Taraf LRA Kogopon di Papar juga sudah ada dalam perancangan lebih awal, namun hanya dapat dimulakan pada Ogos 2023, selepas Datuk Shahelmey Yahya menjadi Menteri Kerja Raya Sabah.
“Kedua-dua projek ini sudah ada dalam perancangan dan sebagai Menteri Kerja Raya, jangan tuding jari kegagalan kepada pihak lain.
“Realitinya beliau adalah menteri gagal kerana pengganti beliau berupaya menggerakkan projek berkenaan. Kerajaan GRS juga merancang satu lagi projek baharu, iaitu Projek LRA Balung II yang dijadual bermula 2026,” katanya.
Armizan juga mendakwa, perkara sama juga berlaku dalam isu bekalan elektrik, apabila banyak projek penstabilan bekalan elektrik mula dilaksana selepas Bung Moktar dan Umno tiada dalam pentadbiran negeri, termasuk Projek Rangkaian Grid ke Pantai Timur Southern Link Fasa I yang bermula tahun lalu.
Beliau mendakwa, walaupun elektrik bukan di bawah bidang tugas Menteri Kerja Raya, Bung Moktar ketika memegang jawatan itu sentiasa menunjukkan kuasanya, sehingga dua Ketua Umno Bahagian di Sabah dilantik duduk sebagai Ahli Lembaga Pengarah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melalui cadangannya.



