KUALA LUMPUR – Polis Kelantan mendedahkan beberapa individu yang mendalangi sindiket dadah di negeri berkenaan sudah dikenal pasti dan berada dalam radar pihaknya.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sindiket berkenaan dikesan sudah lama terbabit dengan kegiatan dadah dan pada masa sama mengakui sukar untuk menangkap dalang berkenaan.
“Di Kelantan, beberapa individu yang mendalangi sindiket pengedaran dadah berada dalam radar kita dan mereka sudah terbabit dengan kegiatan itu sudah lama. Sindiket berkenaan membabitkan pelbagai jenis dadah termasuk pil kuda.
“Walaupun kita berjaya merampas atau membuat tangkapan sebelum ini membabitkan orang bawahan, namun bukan senang untuk menangkap dalang utama bagi setiap sindiket.
“Ini kerana mereka selaku ketua tidak memegang bekalan dadah sebaliknya hanya mengeluarkan arahan sahaja,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan, di Kota Bharu lapor Harian Metro pada Rabu.
Beliau berkata, rangkaian setiap sindiket dadah adalah terputus antara faktor menyebabkan dalang utama sukar dikesan.
“Sebagai contoh kita tahan ‘transporter’, ketika keterangan diambil, mereka hanya kenal rangkaian transporter sahaja dan tidak kenal siapa ketua mereka.
“Sindiket dadah ini adalah licik dan dia akan pastikan setiap rangkaian itu adalah terputus bagi menyukarkan pihak berkuasa menangkap dalang utama.
“Bagaimanapun, walaupun sukar kita akan melakukan pemerhatian rapi termasuk meminta bantuan Bukit Aman. Pada masa sama kita juga melakukan pemerhatian terhadap mereka yang melakukan perniagaan pelik dan besar secara tiba-tiba,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujudnya sebuah kartel besar menyeludup masuk dadah ke negara ini sejak 20 tahun lalu dan sehingga kini tidak ada tindakan.
Anwar turut membangkitkan persoalan berkenaan kepada agensi yang bertanggungjawab, susulan ramai orang bercakap mengenai perkara itu.



