Persekutuan tak merayu tuntutan 40 peratus hasil Sabah bukan sebab nak PRN – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung 29 Nov ini menjadi antara pertimbangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam mengemukakan rayuan separa terhadap keputusan mahkamah berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

Anwar berkata, kerajaan menerima keputusan mahkamah, namun mendapati terdapat isu pada sebahagian alasan penghakiman yang perlu diperbetulkan melalui proses rayuan.

“Tidak (bukan kerana PRN). Kita telah menerima keputusan itu tetapi…maksud saya, ada isu dalam alasan penghakiman,” katanya.

Menteri Kewangan itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas perbincangan menyeluruh dalam pelbagai mesyuarat.

“Terdapat banyak mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Saya sendiri turut mempengerusikan mesyuarat di Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur,” katanya memetik FMT di Kajang pada Khamis.

Selasa lalu, AGC mengumumkan kerajaan tidak akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil persekutuan diperoleh dari negeri itu.

Bagaimanapun, AGC memaklumkan kerajaan berhasrat mencabar beberapa ‘kecacatan’ dalam alasan penghakiman.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini memutuskan semakan semula pasca 2021 terhadap hak hasil negeri Sabah oleh kerajaan adalah tidak sah, tidak rasional, tidak mengikut prosedur dan tidak seimbang.

AGC berkata ia berniat untuk merayu terhadap bahagian keputusan itu.

Terdahulu hari ini, Anwar memberitahu Dewan Rakyat keputusan mahkamah tersebut menuduh berlakunya kesilapan besar oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri sejak 1974.

Perdana Menteri berkata, bahagian keputusan itu perlu dirayu kerana secara tidak adil menyalahkan semua kerajaan terdahulu, termasuk pentadbiran Persekutuan bawah Tun Abdul Razak Hussein serta kerajaan Sabah dipimpin Tun Mustapha Harun dan Tun Fuad Stephens.

Beliau turut menjelaskan, perbincangan mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah akan diteruskan walaupun negeri itu kini ditadbir kerajaan sementara, dengan perbincangan teknikal dijalankan sekarang dan keputusan utama dibuat selepas pilihan raya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat