Keluarga pastor Raymond mohon Ayob Khan ketuai pasukan siasatan kerana integriti dan jujur

KUALA LUMPUR – Keluarga Pastor Raymond Koh memohon agar Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, dipertimbangkan untuk mengetuai siasatan polis berhubung kes kehilangan lelaki itu sejak 13 Februari 2017.

Isteri Koh, Susanna Liew, berkata bagi memastikan kes itu dapat disimpulkan secara adil, siasatan polis perlu diketuai individu yang berintegriti tinggi, jujur serta berpegang kepada kebenaran dan keadilan menurut undang-undang.

“Saya bersama keluarga dengan rendah hati memohon Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, dipertimbangkan untuk mengetuai sebarang siasatan polis berhubung perkara ini.

“Beliau dikenali umum sebagai seorang yang berintegriti serta jujur. Kami yakin beliau tidak akan gentar atau takut untuk melakukan apa yang betul dan adil, walaupun (jika) membabitkan pegawai kanan polis dalam (dakwaan) kes penculikan ini.

“Pelantikan Ayob yang terkenal dengan pengalaman luas dalam penyiasatan serta berpendirian tegas mengenai disiplin dan integriti dalam kalangan pegawai bawahannya, akan memberikan isyarat jelas bahawa siasatan ini diambil serius dan akan dijalankan secara bebas, menyeluruh serta berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan semalam, lapor BH.

Susanna berkata, tiga siasatan polis terdahulu berhubung kes kehilangan Koh dan juga aktivis sosial, Amri Che Mat, menunjukkan kesimpulan berbeza sebagaimana dinyatakan dalam siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), laporan Pasukan Petugas Khas serta keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau sekali gus memohon Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, agar sudi bertemu dengan keluarganya dan peguam mereka untuk membincangkan kes berkenaan pada minggu depan.

Susanna turut memaklumkan bahawa bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pernah mengadakan pertemuan dengan keluarganya sebelum ini.

“Saya berharap Menteri dapat meluangkan sedikit masa untuk bertemu kami.

“Perkara ini amat peribadi dan menyakitkan bagi saya dan keluarga. Selepas sekian lama, keputusan Mahkamah Tinggi serta kenyataan Menteri baru-baru ini memberi kami harapan bahawa pihak berkuasa akan bertindak dengan tekad.

“Permohonan kami ini lahir daripada harapan mendalam agar siasatan dijalankan dengan segera dan telus serta dapat mengembalikan kepercayaan bukan saja bagi keluarga saya dan keluarga Amri Che Mat, tetapi juga semua rakyat Malaysia yang percaya kepada Kerajaan Madani, pasukan polis dan bahawa kebenaran serta keadilan akhirnya akan ditegakkan,” katanya.

Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab atas kecuaian, penyalahgunaan kuasa awam, pelanggaran kewajipan statutori serta pencabulan kebebasan asasi dalam kes kehilangan Koh dan Amri.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata polis akan membuka semula siasatan berhubung kes kehilangan berkenaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat