Rahman Dahlan tarik diri tanding Tempasuk, petanda krisis dalam BN Sabah?

KOTA KINABALU, – Pengumuman Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) menimbulkan spekulasi baharu mengenai perpecahan dalam parti itu.

Pertentangan antara Rahman dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bukan lagi rahsia. Sejak beberapa bulan lalu, Bung pernah menyatakan Rahman hanya akan diberi tempat di kerusi Sulaman — kawasan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Namun, hasil perbincangan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Bung pada Ahad lalu, nama Rahman diumumkan sebagai calon bagi kerusi Tempasuk di kawasan Parlimen Kota Belud. Sejak seminggu lalu, beliau turut dilihat mengadakan beberapa program di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan Rahman untuk menarik diri dipercayai berpunca daripada bantahan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan — yang dikatakan turut mendapat sokongan Bung.

Bung mengesahkan pengunduran Rahman petang tadi.

“Beliau memberitahu kami bahawa beliau menarik diri sebagai calon. Azwan Norjan, Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, kini akan bertanding di kerusi itu,” katanya.

Apabila ditanya punca sebenar langkah itu, Bung hanya menjawab ringkas, “Lebih baik tanya beliau sendiri… tidak mengapa, apa kita boleh buat?”

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Tengku Azman Zainol Abidin — yang juga bekas Setiausaha Politik Rahman — turut mengesahkan perkara berkenaan. Beliau kini berada di Kota Belud bagi membantu persiapan awal kempen Rahman sebelum pengumuman mengejut itu dibuat.

Rahman, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebelum ini dilihat antara calon utama untuk dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya BN kembali memerintah Sabah.

Keputusan beliau untuk menarik diri hanya beberapa hari sebelum penamaan calon pada 15 November ini mengejutkan banyak pihak dalam UMNO Sabah.

Kerusi Tempasuk kini disandang oleh Arsat Bistari, yang memenangi kerusi itu atas tiket BN-UMNO pada PRN 2020, sebelum kemudian menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS). GRS juga telah menamakan Arsat sebagai calon bagi mempertahankan kerusi tersebut. -Suara.TV

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat