Ney York — Zohran Mamdani mencipta sejarah apabila memenangi pemilihan Datuk Bandar New York City yang berlangsung pada Selasa (4 Nov), sekaligus menjadi Muslim pertama memimpin bandar terbesar di Amerika Syarikat itu.
Mamdani, 34, seorang sosialis yang lahir di Uganda dan dibesarkan di New York, menewaskan bekas Gabenor Parti Demokrat, Andrew Cuomo.
Dalam keputusan tidak rasmi, Mamdani memperoleh sekitar 44 peratus undi, beberapa mata di hadapan Cuomo. Sementara calon Parti Republikan, Curtis Sliwa, hanya meraih 24 peratus undi.
Sepanjang kempen, Mamdani menumpukan mesej kepada isu kos sara hidup, serta menampilkan gaya santai dan perwatakan mesra di media sosial yang berjaya menarik sokongan generasi muda.
Namun kemenangan beliau turut mencetuskan reaksi keras daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang melabelnya sebagai “pembenci Yahudi”.
“Setiap orang Yahudi yang memilih Zohran Mamdani, seorang yang terbukti membenci Yahudi, adalah orang bodoh,” tulis Trump di platform media sosial miliknya, Truth Social.
Seorang profesor ilmu politik dari Universiti Syracuse, Grant Reeher, menjangka kemenangan itu akan memperburuk hubungan politik antara Trump dan pentadbiran New York.
“Trump berkemungkinan memperlakukan New York dengan lebih agresif. Pertembungan politik pasti berlaku,” katanya kepada AFP.
Awal minggu ini, Trump turut memberi amaran akan mengurangkan dana persekutuan untuk bandar itu sekiranya Mamdani terpilih.
“Jika calon komunis Zohran Mamdani menang, saya tidak akan menyalurkan dana persekutuan kecuali jumlah minimum yang diwajibkan,” kata Trump.
“Saya yakin New York City akan menjadi bencana ekonomi dan sosial total di bawah kepimpinannya,” tambahnya lagi.



