KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan mengakui malas menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen pembangkang.
Pengakuan itu susulan sikap pembangkang yang tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar, semalam, sebaliknya meminta undi belah bahagi dilakukan.
Ahmad mempersoalkan tindakan pembangkang itu selepas soalan tambahan dikemukakan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang bertanyakan mengenai perancangan Kementerian Kerja Raya untuk menarik taraf infrastruktur perhubungan ke Mersing.
Ahmad kemudiannya menjawab perkara itu akan difikirkan sebelum menegur Muhammad Islahuddin yang mahukan pelbagai penambahbaikan namun tidak mahu menyokong Belanjawan 2026.
“Mersing ini pembangkang, minta bukan main banyak lagi… semalam pembangkang tak sokongpun belanjawan tetapi minta berjela-jela.
“Macam malas saya hendak menjawab… kenapa tidak sokong semalam? Selepas itu minta itu ini, belanjawan tak sokong. Malas saya hendak jawab,” katanya di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Jawapan itu menyebabkan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bangkit dengan menyatakan jika malas, timbalan menteri itu boleh meletakkan jawatan.
Ahmad mempertahankan tindakannya dengan menyatakan hanya malas untuk menjawab pembangkang dan bukannya malas untuk hadir ke Parlimen.
Seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang menyatakan soalan yang dikemukakan adalah untuk rakyat sebelum dijawab oleh Ahmad bahawa Belanjawan 2026 juga untuk rakyat.
“Belanjawan semalampun untuk rakyat tetapi mereka tidak sokong,” katanya lapor BH.
Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Nor, menjelaskan berdasarkan peraturan, beliau tidak boleh memaksa menteri atau timbalan menteri untuk menjawab.
“Dari segi peraturan, tidak boleh memaksa menteri untuk menjawab, tidak ada dalam buku peraturan dan kita teruskan kepada urusan majlis,” katanya.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas undi belah bahagi dilakukan.
Johari berkata, seramai 120 ahli Dewan Rakyat bersetuju untuk RUU Perbekalan 2026 peringkat dasar diluluskan, manakala 67 tidak bersetuju dan 35 lagi tidak hadir.
Sesi soal jawab lisan kemudiannya disambung dengan soalan tambahan dikemukakan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang mahu tahu usaha kerajaan untuk membangunkan lebuh raya di kawasan pesisir pantai Johor.
Ahmad kemudiannya menjawab kerajaan sememangnya mempunyai perancangan untuk membangunkan lebuh raya di kawasan pesisir pantai dari Selangor hingga ke Pontian melalui Batu Pahar, Muar dan Melaka.



