Ada negara tak iktiraf hukuman sebat sebab itu pesalah Malaysia tak diekstradisi – Azam Baki ulas kesukaran bawa pulang menantu Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Usaha membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, dan peguamnya, Mansoor Saat, ke Malaysia tergendala disebabkan perbezaan undang-undang dengan negara asing.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata walaupun pelbagai usaha dilakukan melalui rangkaian kerjasama khususnya melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), bantuan tidak dapat diberikan oleh beberapa pihak.

“Memang ada kerjasama, termasuk dengan INTERPOL dan agensi lain.

“Tetapi terdapat juga negara yang tidak dapat memberikan bantuan walaupun melalui INTERPOL, kerana salah satu daripada negara tersebut saya tidak akan nyatakan mempunyai undang-undang yang menghalang mereka daripada bekerjasama dalam kes di mana pertuduhan kita boleh membawa kepada hukuman sebat.

“Oleh sebab negara berkenaan tidak mengiktiraf sebat sebagai bentuk hukuman, mereka tidak dapat membantu dalam mengekstradisi pesalah ke Malaysia.

“Ini bermakna mereka juga tidak membantu dalam usaha mengesan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bertajuk ‘Private Sector Compliance and Culture of Integrity’ hari ini lapor NST pada Khamis.

Sesi itu diadakan bersempena Mesyuarat Utama Ke-21 ASEAN-Parties Against Corruption yang berlangsung Selasa lalu dan berkahir hari ini.

Ditanya mengenai keberadaan Mansoor, Azam berkata: “Dia masih bebas di luar negara sebagai pelarian dan saya tidak dapat memberikan kepastian mengenai lokasinya.

“Begitu juga dengan Adlan, seperti yang saya sebutkan semalam, dia masih berada di luar negara…. usaha mengesan kedua-duanya masih diteruskan dengan bantuan pihak luar,” katanya.

Mansoor serta Adlan yang merupakan menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diburu SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Pada Ogos 2023, Mansoor menafikan dakwaan beliau melarikan diri untuk mengelak pendakwaan.

Dalam satu kenyataan, Mansoor berkata SPRM mengetahui lokasi beliau dan bahawa beliau pernah memberi jaminan untuk pulang selepas menyelesaikan urusan perniagaannya.

Mansoor turut mendakwa berdepan gangguan berterusan dan hanya akan pulang ke Malaysia sekiranya tidak dianiaya.

Sementara Adlan dilapor meninggalkan Malaysia ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya berdepan beberapa pertuduhan rasuah.

Mansoor pula dilaporkan berangkat ke Jakarta empat hari selepas itu dan terus melarikan diri sejak dari tarikh berkenaan.

Terkini, Adlan dipercayai menikmati kehidupan mewah di Asia Barat.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat