KUALA LUMPUR – Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) tegas mengkritik sekali gus tidak bersetuju dengan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang dimeterai Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia yang dianggap penjarahan harta negara miskin Malaysia kepada AS.
Beliau mempertikai kumpulan perunding Malaysia termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz yang bersetuju dengan syarat-syarat yang jelas menyerahkan kekayaan negara kita kepada AS.
“US3.4 bilion itu USD bukan ringgit, ini satu penyerahan. Ini kata negara kita merdeka, berdaulat bagaimana ini?
“YB Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) apa sudah jadi? Beratus tahun negara kita mempertahankan (negara) melawan Belanda, Portugis, Inggeris, kita merdeka.
“Tapi hari ini Trump datang- yang menjahanamkan Gaza bumi Palestin kita sambut mereka dan kita serahkan kekayaan kita, ini pemunggahan! Ini pemunggahan harta negara miskin Malaysia ke Amerika Syarikat – ini tidak boleh, saya kritik.
“Saya tak tahu apa jadi kepada saya selepas ini. Tapi saya tidak bersetuju,” bentak wakil rakyat PKR itu di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam pada itu, Hassan tegas tidak boleh menerima salah satu kandungan perjanjian AS-Malaysia terkait nadir bumi.
“Bagaimana syarat AS kenakan bahawa ikut perjanjian kita mesti jual nadir bumi kita ke AS, tiada siapa boleh menghalang… mana boleh! Dia mengenakan syarat sedemikian.
“Ini yang perunding-perunding ini, Menteri MITI apa yang mereka runding ni?
“Ini penggadaian negara kita, ini memalukan! Kena jawab di Dewan Rakyat.
“Betullah kita memang ada sopan santun, berbudi bahasa, tetapi tanpa sebutir bom, tanpa senapang tanpa apa apa Trump turun ke bawah ini kita menyerahkan ekonomi kita, menyerahkan kekayaan negara kita RM1 trilion sedangkan setiap tahun kita berhempas pulas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kena kutip, kastam kena kutip, semuanya nanti kita bagi kepada AS.
“Bahkan, Petronas bergaduh dengan sesetengah negeri, tak bayar royalti kepada Kelantan, tak bayar royalti kepada Terengganu mungkir kepada Sabah, mungkir kepada Sarawak kita bergaduh sesama sendiri tapi berbilion kita bagi kepada AS saya tidak bersetuju,” tegas Hassan.



