KUALA LUMPUR – Felo Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan menjelaskan peningkatan peruntukan Belanjawan 2026 antara 9 ke 10 peratus buat Kementerian Dalam Negerj (KDN) yang dipimpin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bukan kerana keakraban beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya tegas beliau, fakta kepada jumlah besar peruntukan buat KDN adalah usaha dan komitmen kerajaan dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara yang tiada kompromi.
“KDN diperuntukkan RM21.2 bilion Belanjawan 2026. KDN ini ada dua perkara menarik, kementerian ini portfolio adalah berkenaan kedaulatan dan keselamatan.
“Kedua menterinya sekarang Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail saya anggap ada hubungan baik dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tapi peruntukan yang besar itu tak ada kena mengena dengan keakraban Saifuddin dengan Anwar. Ianya tentang keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya dalam Podcast Tiger Show.
Kata Azmi lagi, sedekad lalu mungkin KDN hanya membabitkan keselamatan dalam negeri sahaja, tapi sekarang tidak.
“Ancaman luar juga dikatakan dalam portfolio Saifuddin.
“Jadi untuk menjawab kenapa peruntukan naik 9-10 peratus tahun ini, itu sekitar RM2 bilion lebih berbanding tahun lalu, kerana ini melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Tapi bercakap soal keselamatan kita tak boleh lari daripada Kementerian Pertahanan yang juga turut menerima bajet besar. Kedua-dua kementerian ini perlu saling berkomunikasi.
“Walaupun Saifuddin PKR manakala Datuk Seri Khaled Nordin dari Umno mereka boleh bercakap kerana portfolionya adalah bertindih antara satu sama lain,” jelas Azmi.



