KUALA LUMPUR – Hukuman merotan itu hanya salah satu komponen dan bukan penyelesaian 100 peratus, kata Datuk Seri Rafizi Ramli.
Dalam konteks mendidik beliau memberitahu, rotan dilihat sebagai alat untuk mendisiplinkan tetapi tidak semestinya menangani akar masalah yang berlatar belakang masyarakat, seperti isu keluarga, ekonomi, atau pengaruh media sosial yang berbeza hari ini.
Menurut ahli Parlimen Pandan itu, walaupun sesetengah pihak berpendapat hukuman rotan wajar dipertimbangkan semula, cabarannya pada menggariskan syarat ketat pelaksanaannya untuk mengelak penyalahgunaan dan, yang lebih penting, untuk mengurus tindak balas ibu bapa yang boleh membawa kepada tuntutan atau pertikaian.
“Kegagalan mendapat mandat sosial daripada ibu bapa akan menjadikan dasar itu tidak berkesan dan kontroversi.
“Sebagai contoh di Jepun, pada peringkat awal persekolahan, tumpuan diberikan kepada pembentukan nilai dan disiplin diri berbanding semata-mata kepada silibus pelajaran. Murid dilatih untuk menghayati nilai-nilai penting seperti kebersihan dan tanggungjawab contohnya, di sekolah mereka tidak mempunyai tukang sapu, sebaliknya murid sendiri yang membersihkan kawasan sekolah,” jelas Rafizi.
Bekas Menteri Ekonomi itu memberitahu, pendekatan ini menekankan bahawa pembentukan nilai dan sikap lebih utama daripada pencapaian akademik semata-mata.
“Di peringkat awal juga, banyak aktiviti dijalankan untuk membentuk sahsiah dan semangat bekerjasama dalam kalangan pelajar,” ujar beliau.



